fbpx

‘Siapa kata Langkawi tiada pelancong?’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jumlah pelancong ke Pulau Langkawi semakin meningkat pada bulan lalu sekali gus menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa pusat peranginan itu tidak mendapat sambutan.

LANGKAWI – Dakwaan mengatakan Pulau Langkawi sudah tidak lagi menjadi tumpuan percutian ternyata meleset apabila jumlah pengunjung ke lokasi peranginan itu mencatatkan kemasukan 250,000 orang pada bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi, Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, jumlah pelancong yang dicatatkan itu melebihi kemasukan pada bulan sebelumnya iaitu seramai 208,069 orang.

Katanya, jumlah pelancong sepanjang tahun ini sehingga bulan lalu pula adalah seramai 1.8 juta orang.

“Data tersebut dikumpul setiap hari melalui semua pintu masuk Langkawi,” katanya selepas merasmikan Majlis Perasmian 8th World Carrom Championship 2022 di sini kelmarin.

Menurutnya, angka-angka berkenaan membuktikan bahawa kedatangan pelancong tidak berkurangan di Langkawi seperti yang digembar-gemburkan pihak tertentu.

“Pulau Langkawi terus me­nerima jumlah kemasukan pelancong yang memberangsangkan,” ujarnya.

Sementara itu, Nasaruddin memberitahu, pertandingan karom itu disertai 250 peserta dari 18 buah negara seperti Bangladesh, Perancis, Jerman, India, Itali, Korea, Maldives, Nepal, Poland dan Amerika Syarikat.

“Ada dalam kalangan peserta yang membawa keluarga mereka bersama untuk menyertai kejohanan selama lima hari bermula semalam (kelmarin).

“Ini sekali gus membantu menyemarakkan lagi industri pelancongan di Langkawi,” jelasnya.

Beliau turut mengumumkan untuk menaja tiket masuk ke kereta kabel Langkawi SkyCab kepada semua peserta kejohanan itu sekiranya mereka berjaya mencapai 50 ‘slam’, atau menghabiskan perlawanan dengan hanya satu petikan sahaja.

Kebiasaannya, satu kejohanan karom antarabangsa akan merekodkan kira-kira 30 ‘slam’ sepanjang pertandingan diadakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI