KOTA BHARU – Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan akan mengambil tindakan tegas terhadap wartawan dan syarikat media yang melaporkan berita mengenai kes yang masih dalam siasatan polis yang melibatkan ancaman keselamatan.
IPK Kelantan dalam satu kenyataan berkata, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun terkilan dengan tindakan sesetengah pengamal media yang mengambil kesempatan mengeluarkan berita tanpa mengira situasi dan keselamatan mangsa.
Menurutnya, Muhamad Zaki terpanggil untuk membuat teguran keras kepada para pengamal media berkaitan penyiaran berita kes-kes menarik melibatkan kes masih dalam siasatan polis.
“Ketua Polis Kelantan telah memaklumkan pada sidang media semalam untuk tidak mengganggu mangsa dan ahli keluarga.
“Beliau terkilan dengan tindakan sesetengah pengamal media yang mengambil kesempatan mengeluarkan berita tersebut tanpa mengira situasi dan keselamatan mangsa,” katanya.
Menurut kenyataan itu, Ketua Polis Kelantan berharap perkara itu tidak akan berulang lagi.
Katanya, IPK akan mengambil tindakan tegas ke atas wartawan dan syarikat media yang masih tidak memberikan kerjasama berhubung perkara tersebut.
Terdahulu, kenyataan tersebut dikeluarkan oleh IPK Kelantan selepas beberapa media hari ini menyiarkan temubual dengan seorang ejen jualan kosmetik dikenali sebagai Azi yang dibawa lari dari rumahnya pada 13 September.
Mangsa dipercayai menceritakan detik-detik dia diculik dan dibawa ke negara jiran kepada media yang hadir. – KOSMO! ONLINE