MANCHESTER – Bintang sensasi, Cristiano Ronaldo dilaporkan bakal mendapat kebenaran kelabnya, Manchester United untuk meninggalkan Old Trafford pada jendela perpindahan Januari ini selepas masa depannya di kelab itu semakin kelam.
Ronaldo yang memulakan aksi sebagai pemain simpanan, langsung tidak diturunkan ketika United berdepan kekalahan 3-6 kepada Manchester City pada aksi di Etihad Ahad lalu.
Pengurus United, Erik Ten Hag sebelum ini mengakui membuat keputusan untuk tidak membawanya masuk kerana menghormati Ronaldo ketika United gagal mengimbangi aksi City dan berdepan kekalahan besar itu.
Bekas kapten United, Roy Keane sebelum ini menyelar pihak pengurusan United kerana enggan melepaskan Ronaldo yang berhasrat untuk meninggalkan pasukan itu pada musim panas lalu.
Bagaimanapun, Ten Hag dan ahli lembaga pengarah kelab itu dilaporkan bersedia untuk menukar pendirian mereka apabila sedia mengadakan rundingan dengan mana-mana kelab yang mahu mendapatkan khidmat Ronaldo.
Setakat ini, Ronaldo hanya beraksi selama 80 minit dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan hanya menyertai kesebelasan utama ketika United tewas 0-4 kepada Brentford sebelum disenaraikan sebagai pemain simpanan sahaja pada aksi berikutnya.
Ten Hag mengakui keberatan untuk melepaskan Ronaldo, namun berubah fikiran apabila bersedia untuk kehilangan pemain itu dalam usaha memberikan fokus terhadap pembinaan semula pasukan.
Namun, kekalahan buruk hujung minggu lalu mungkin juga akan membuka ruang buat Ronaldo untuk kembali ke dalam skuad utama menjelang aksi menentang Everton apabila Ten Hag memberi bayangan untuk membuat sedikit rombakan. – AGENSI