MERAH jambu atau pink selalunya sinonim dengan kaum wanita kerana dekat dengan warna merah yang merupakan simbol warna romantik.
Maka pemilihan warna merah jambu selalunya untuk perempuan dan biru pula bagi kaum lelaki, seperti yang selalu dilihat dalam acara ‘gender reveal’ bayi.
Kecenderungan sama dilalui penyanyi Jin yang pada awalnya berasa canggung berpakaian warna pink tetapi kini dia mula suka dan jatuh cinta dengan warna tersebut hanya disebabkan peminatnya.
Perkara berkenaan didedahkan anggota kumpulan BTS itu dalam temu ramah yang terkandung dalam Collector’s Edition album Proof yang dilancarkan baru-baru ini.
“Sebelum ini, saya rasa pink agak berlebihan untuk saya pakai. Tetapi selepas peminat lihat saya pakai warna pink di atas pentas dan dalam video muzik, ramai yang suka.
“Mereka kata saya nampak elok memakai pink. Jadi saya mula sukakan warna ini. Saya mula jatuh cinta kerana peminat saya, ARMY,” katanya.
Perkara tersebut dipersetujui ramai peminat dengan alasan, Jin sangat sempurna dari semua segi, apa sahaja warna sesuai untuknya.