fbpx

Dua pelombong Bitcoin didenda RM55,000, sogok ejen TNB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH Tin Sheng (berbaju hitam hitam) dan Tey Boon Sin (berbaju kuning) diiringi pegawai SPRM selepas dijatuhi hukuman denda RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen Melaka, hari ini.

MELAKA – Padah memberi suapan kepada ejen Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menutup kegiatan melombong Bitcoin, dua lelaki diperintah membayar denda keseluruhan RM55,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh Tey Boon Sin, 33, dan Leang Tin Sheng, 43, yang mengaku salah masing-masing atas dua pertuduhan pilihan.

Mengikut pertuduhan ke atas Boon Sin, tertuduh didapati telah memberi suapan iaitu wang tunai keseluruhan sebanyak RM32,000 kepada ejen TNB sebagai dorongan untuk tidak menjalankan tindakan bagi membawa seorang kepada seksaan undang-undang.

Wang itu diberikan sebagai suapan untuk tidak mengambil tindakan ke atas dirinya kerana melakukan kesalahan menggunakan elektrik dengan curang dibawah Seksyen 37(1) dan 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh kira-kira pukul 3.45 petang pada 6 Oktober 2021 dan 6 petang, 19 November tahun sama di sekitar daerah Melaka Tengah.

Manakala, Ting Sheng, pula didakwa melakukan perbuatan sama dengan memberikan wang tunai keseluruhan sebanyak RM3,000 dalam dua perjumpaan di Medan Samudera, dalam daerah Melaka Tengah pada 20 September dan di A’Famosa Freeport, Alor Gajah, 4 Oktober 2021.

Bagi kesalahan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak sampai 10 tahun, diseksa dengan penjara yang boleh sampai satu per empat daripada tempoh yang lama sekali atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Boon Sin yang diwakili Peguam Azrul Zulkifli Stork merayu agar hukuman ringan berbentuk denda diberikan dengan alasan dia tidak mempunyai pekerjaan tetap selepas syarikat pengiklanannya ditutup, selain menanggung isteri serta tiga anak yang masih kecil.

Tin Sheng yang diwakili Peguam Azri Abd. Hamid pula memberikan alasan menanggung isteri serta dua orang anak dan hanya bekerja sebagai pembantu kedai.

Timbalan Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwanshah Abdul Samat bagaimanapun memohon agar hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kesalahan rasuah adalah serius dan faktor kepentingan awam.

Beliau turut memohon empat pertuduhan dihadapkan ke atas Boon Sin dan enam terhadap Tin Sheng dalam sebutan kes sebelum ini dipertimbangkan sebagai Take Into Consideration (TIC) dan dijadikan pemberat (hukuman).

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman RM45,000 terhadap Boon Sin atau 11 bulan penjara jika gagal bayar dan RM10,000 terhadap Tin Sheng atau lima bulan penjara jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI