LONDON – Arsenal akhirnya berjaya menyambar khidmat bintang Atletico Madrid, Thomas Partey dengan harga €50 juta (RM244.6 juta) pada saat-saat akhir sebelum jendela perpindahan pemain ditutup awal pagi semalam.
Lebih menarik, The Gunners berjaya mengaktifkan klausa perpindahan Partey, 27, tanpa pengetahuan Atletico dan pengendalinya, Diego Simeone yang hanya mengetahui perkara itu menerusi pengumuman daripada pengelola liga Sepanyol, La Liga.
Pemain tengah bertahan dari Ghana itu akan diberikan penghormatan menggunakan jersi yang tertera nombor 18 selama empat tahun bersama gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) tersebut.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta antara individu paling gembira dengan berita itu kerana Partey dikatakan pelengkap kepada taktikal permainan diterapkannya ketika ini.
“Kami sudah lama menunggu peluang untuk mendapatkan khidmat Partey. Dia ada kualiti lengkap untuk pasukan ini dengan corak permainannya yang dinamik dan penuh bertenaga.
“Dia juga seorang pemain yang bijak dan saya tidak sabar untuk mencorakkan sistem permainan yang sesuai dengan kualitinya. Tunggu sahaja nanti,” katanya.
Kehadiran Partey menyaksikan pemain tengah Arsenal, Lucas Torreira dipinjamkan ke Atletico dengan pilihan membeli tonggak Uruguay itu secara tetap berjumlah €20 juta (RM97.85 juta).
Seorang lagi pemain tengah Arsenal, Matteo Guendouzi sah menyertai kelab Jerman, Hertha Berlin secara pinjaman hingga akhir musim ini selepas khidmatnya tidak diperlukan oleh Arteta musim ini. – AGENSI