fbpx

Kes culik, jualan organ tular di media sosial cuma palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Acryl Sani.

GEORGE TOWN – Kes penculikan berkaitan kanak-kanak dan penjualan organ manusia yang tular di media sosial sejak akhir ini disifatkan sebagai palsu dan tidak berasas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, hasil siasatan lanjut menerusi laporan berkaitan mendapati kes itu tidak benar dan sengaja disebarkan bagi tujuan tertentu.

“Melainkan kes penculikan di Genting Highlands, itu pun saya tidak boleh komen kerana sekarang sedang melalui proses perbicaraan, jadi biar mahkamah tentukan motif sebenar di sebalik kejadian itu.

“Tetapi selain kes itu, semua laporan yang berkaitan kes culik kanak-kanak dan penjualan organ yang kita terima adalah tidak berasas,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Sambutan Peringatan Hari Polis Marin Ke-75 di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban, di sini hari ini.

Justeru beliau memberitahu, menerusi penyebaran maklumat kes tersebut secara tidak langsung telah meningkatkan kesedaran ibu bapa dan masyarakat terhadap keselamatan kanak-kanak.

“Namun, dalam kita meningkatkan keprihatinan , kesiapsiagaan kita , jangan sampai pula kita terbabit dalam menyebar luaskan berita yang tidak benar yang boleh mendatangkan kegusaran kepada rakyat,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan yang polis kini sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Polis Diraja Malaysia akan sentiasa membuat persiapan yang rapi berkaitan dengan penggunaan sumber manusia dan juga aset-aset dengan tujuan bagi memastikan kelancaran perjalanan PRU-15.

“InsyaAllah…dengan persiapan yang telah kita laksanakan, yang telah kita aturkan, kita berdoa mudah-mudahan PRU akan dapat dilaksanakan dengan lancar, tenteram, aman serta terkawal,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI