fbpx

Ibu maut, anak parah angkara Myvi buat pusingan U

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mangsa kemalangan berusia 52 tahun dibawa ke HSAH, Sungai Petani sebelum disahkan meninggal dunia di hospital itu pada petang semalam.

SUNGAI PETANI – Seorang wanita maut manakala anak perempuannya cedera parah apabila motosikal dinaiki melanggar sebuah kereta yang tiba-tiba membuat pusingan U di Kilometer 68 Jalan Alor Setar – Butterworth, Padang Temusu dekat sini semalam.

Dalam kejadian pukul 1.55 tengah hari itu, mangsa berusia 52 tahun mengalami kecederaan parah pada kepala dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kira-kira sejam kemudian.

Sementara anak perempuannya berusia 24 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC patah paha kiri.

Mereka berasal dari Kampung Sungai Emas, Kota Kuala Muda dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan tersebut membabitkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.

Katanya, kejadian berlaku ketika dua beranak itu dalam perjalanan dari arah Sungai Petani menghala Tikam Batu.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu di lorong motosikal arah sama secara tiba-tiba membuat pusingan U.

“Ia menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan kanan kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, perlanggaran itu mengakibatkan dua beranak tersebut tercampak ke laluan bertentangan.

“Pada masa sama, sebuah lagi kereta jenis Honda Civic yang dipandu dari arah bertentangan tidak sempat mengelak lalu terlanggar dua beranak terbabit,” ujarnya.

Menurutnya, kedua-dua mangsa yang cedera parah dibawa ke Wad Kecemasan HSAH untuk rawatan.

“Walau bagaimanapun pada pukul 3.05 petang, mangsa berusia 52 tahun disahkan telah meninggal dunia di wad tersebut,” katanya.

Katanya, pemandu Perodua Myvi yang berusia 24 tahun dan pemandu Honda Civic berusia 22 tahun tidak mengalami kecederaan.

Tambahnya, hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian pemandu Perodua Myvi yang membuat pusingan U di kawasan yang tidak dibenarkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI