fbpx

MAMPU perlu ambil alih sepenuhnya MySejahtera – PAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati pelantikan syarikat, KPISoft (Entomo) sebagai pembangun aplikasi MySejahtera pada bulan Mac 2020 lalu adalah tidak teratur dan tidak berlandaskan prosedur atau tatacara perolehan kerajaan.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh dalam kenyataan di Dewan Rakyat hari ini berkata, tiada sebarang minit ataupun dokumen sokongan lengkap yang wujud berkenaan dengan pelantikan syarikat berkenaan.

“Satu-satunya dokumen adalah Dokumen Perjanjian Kerahsiaan (NDA) yang ditandatangani antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) (bagi pihak Kerajaan) dengan KPISoft.

“Dapatan itu adalah sebahagian lapan rumusan PAC hasil daripada dua prosiding yang dijalankan berhubung pengambilalihan MySejahtera iaitu pada 14 April dan 21 April 2022 yang mana antara saksi dipanggil ialah Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu bakar dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz,” jelas kenyataan tersebut.

PAC membentangkan Laporan Pembangunan dan Perolehan Aplikasi MySejahtera di bawah Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri di Parlimen, hari ini.

Tambah Kah Woh, konsep Tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dicadangkan oleh KPISoft (Entomo) telah menyebabkan Kerajaan tidak jelas akan hala tuju sebenar perolehan aplikasi MySejahtera.

Katanya, kerajaan adalah keliru dari segi pelantikan KPISoft, konsep CSR dan tempohnya serta pemilikan aplikasi MySejahtera.

“Konsep CSR dilihat telah digunakan sebagai mekanisme untuk mendapatkan projek kerajaan tanpa melalui prosedur perolehan yang sepatutnya. Tidak ada dokumen yang menyatakan CSR ini adalah bertempoh setahun.

“Kerajaan seolah-olah tidak mempunyai pilihan (terikat) dan terpaksa membuat keputusan untuk melantik MySJ Sdn Bhd secara rundingan terus. Pembangunan dan penggunaan berterusan aplikasi MySejahtera sepatutnya kekal bersifat CSR,” katanya.

Sebagai langkah penambahbaikan, PAC Parlimen mengesyorkan empat perkara kepada Kerajaan untuk dilaksanakan iaitu kerajaan perlu menyemak semula kewajaran pemberian kontrak aplikasi MySejahtera secara rundingan terus yang dibuat melalui Keputusan Jemaah Menteri bertarikh 26 November 2021 serta kerajaan harus mengambilalih keseluruhan aplikasi berkenaan melalui MAMPU.

“Kerajaan juga perlu mengambil pendekatan yang lebih berhemat dalam segala proses perolehan. Segala tawaran melalui CSR adalah dialu-alukan.

“Bagaimanapun, terma-terma berkenaan dengan tawaran CSR harus dinyatakan dengan jelas dan tidak boleh dijadikan sebagai jalan alternatif untuk rundingan terus. Garis panduan hendaklah diwujudkan untuk tadbir urus tawaran CSR,” katanya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI