KOTA BHARU – Seorang ibu tunggal tidak menjadikan kekurangan dirinya yang berkerusi roda sebagai alasan untuk meminta belas ihsan orang ramai dalam membesarkan empat daripada 10 anaknya.
Sebaliknya, Fatimah Ali, 47, tetap gigih mencari rezeki dengan mengambil upah menjual sayur-sayuran di pasar tani selain pasar malam di Ketereh, Melor, Kok Lanas dan Pasir Puteh enam hari seminggu.
Kerja sebagai menjual sayur-sayuran seperti sawi, pucuk paku dan petai itu merupakan satu-satu sumber rezeki baginya pada masa ini.
Menurut Fatimah, dia tidak boleh berjalan dan perlu menggunakan kerusi roda selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 18 tahun yang lalu.
“Sejak itu, saya terpaksa menyerahkan beberapa orang anak untuk dijaga oleh saudara-mara. Ketika itu, saya menghadapi masalah kesihatan dan kewangan sehingga memaksa untuk membuat keputusan sedemikian.
“Alhamdulillah, kini saya mempunyai kerja dengan mengambil upah menjual sayur-sayuran. Ia cukup untuk perbelanjaan bagi saya dan empat orang anak termasuk seorang orang kelainan upaya (OKU) lembam yang berusia 17 tahun,” katanya yang berasal dari Kampung Kubang Kiat, Ketereh di sini.
Menurut Fatimah, dia akan keluar berniaga di pasar tani bermula pukul 7 pagi sehingga 12 tengah hari dan pasar malam pula bermula pukul 5 petang sehingga pukul 10 malam.
Katanya, dia berniaga selama enam hari seminggu kecuali hari Selasa kerana tiada pasar tani dan pasar malam pada hari tersebut.
“Saya menerima upah sebanyak RM50 sehari sekiranya sayur-sayuran habis dijual. Upah tersebut digunakan sebaiknya untuk kegunaan keluarga.
“Meskipun berkerusi roda, ia tidak menjadi masalah besar buat saya kerana masih boleh bergerak. Jadi, ia bukan satu alasan untuk saya walaupun merupakan OKU,” luahnya.
Menurut Fatimah, selain upah berniaga sayur-sayuran, dia turut menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan bebanan Fatimah boleh menghulurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional Fatimah Ali, 0311929000236969 atau hubunginya di talian 018-912 0721.