MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag mengakui anak buahnya seakan hilang keyakinan dan kekalahan 3-6 kepada Manchester City di Etihad kelmarin menjadi sesuatu yang cukup sukar untuk diterima.
Sambil mengakui cukup terkejut dengan apa yang dipamerkan anak buahnya, Ten Hag mendedahkan bahawa beliau akan mengadakan satu sesi tontonan rakaman perlawanan berkenaan kepada semua pemainnya.
“Saya begitu terkejut kenapa kami tidak mengekalkan aksi terbaik sebelum ini. Pada aksi terakhir United empat minggu lalu, kami adalah pasukan yang memiliki semangat berbeza.
“Namun, pada perlawanan ini kami tidak begitu meyakinkan dan tidak berani untuk menguasai bola. Saya akan tunjukkan (rakaman perlawanan) kepada semua pemain selepas ini,” katanya.
Dalam perlawanan kelmarin, Phil Foden dan Erling Haaland masing-masing merekodkan hatrik buat City, manakala gol The Red Devils dihasilkan oleh Antony dan dua lagi gol menerusi Anthony Martial.
Ketika ditanya apa sebenarnya yang berlaku dalam pasukannya, Ten Hag sendiri mengakui sukar untuk mendapatkan punca sebenar United beraksi dengan cara sebegitu.
“Saya perlu bercakap dengan pemain kerana mereka tahu, mereka mampu melakukan sesuatu yang lebih baik lagi. Kamu pasti akan berdepan kesukaran ketika berdepan pasukan seperti City sekiranya gagal memberikan saingan,” jelasnya. – AGENSI