DUNGUN – Seorang peniaga restoran makanan barat di Kampung Balai Besar di sini mengambil inisiatif menurunkan harga makanan jualannya berikutan penurunan harga bahan mentah sejak akhir-akhir ini.
Mohamad Iqmal Hafeez Mohamad, 34, berkata, harga menu makanan di restorannya dikurangkan antara RM2 hingga RM4 setiap hidangan sejak dua minggu lalu.
Beliau berkata, antara menu tersebut ialah chicken chop, burger chicken chop, ayam panggang, burger ayam panggang dan bebola daging sos lada hitam.
“Sebelum ini, setiap menu itu berharga antara RM10 hingga RM13 sepinggan ekoran kenaikan harga bahan mentah sebelum ini.
“Kini harga bahan mentah khususnya ayam sudah semakin berpatutan, saya turunkan semula harga menu jualan sesuai dengan situasi semasa,” katanya ketika ditemui di restorannya di Kampung Balai Besar di sini semalam.
Mohamad Iqmal Hafeez berkata, beliau seboleh-bolehnya tidak mahu membebankan pelanggannya terutama dalam kalangan golongan kurang berkemampuan dan pelajar.
Tambah bapa kepada dua anak itu, harga ayam potong yang merupakan bahan mentah utama menu restorannya kini boleh didapati pada harga RM35 bagi dua kilogram berbanding lebih RM40 sebelum ini.
“Sedikit pengurangan dalam kos bahan mentah itu amat melegakan sekali gus membolehkan saya menurunkan harga menu jualan mengikut kesesuaian.
“Alhamdulillah, saya masih mendapat keuntungan walaupun dalam margin yang kecil,” katanya.
Mohamad Iqmal Hafeez berkata, beliau bersyukur usahanya itu secara tidak langsung telah meningkatkan jualan restorannya pada masa singkat.