fbpx

Dewan Rakyat: Kerajaan komited bawa RUU dirangka bawah Jabatan Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Junaidi.

PETALING JAYA – Kerajaan komited untuk memastikan segala undang-undang yang dirangka dan telah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) akan dibawa dalam Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas Tahun 2022 yang bermula pada hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, Rang Undang Undang (RUU) Pindaan kepada Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan peruntukan Anti-Menghendap (Anti Stalking) akan dibaca bagi kali kedua dan dibahas pada hari ini.

“Selain itu, pindaan kepada pelbagai undang-undang seperti RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Penculikan (Pindaan) 2022, RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022 dan RUU Senjata (Pindaan) 2022.

“Manakala RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022 yang berkaitan pemansuhan hukuman mati mandatori akan turut dibawa untuk bacaan pertama dan kedua pada sidang Parlimen ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, masih ada beberapa undang-undang yang dijangka dibentangkan pada mesyuarat kali ini tetapi belum mendapat kelulusan Jemaah Menteri.

“Antaranya adalah RUU Sumbangan Politik 2022, RUU Perkhidmatan Parlimen 2022, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) (Pindaan) 2022 dan Akta Insolvensi 1967.

“Selain itu, terdapat juga pindaan Perlembagaan Persekutuan yang juga dijangka akan dibawa pada sidang ini yang masih memerlukan kelulusan Jemaah Menteri seperti Peruntukan yang berkaitan dengan RUU Perkhidmatan Parlimen, Larangan Ahli Dewan Negara bertukar Parti, Pengehadan Tempoh Perdana Menteri dan Pindaan Berkaitan Isu Pelacongan Dalam Senarai Persekutuan,” ujarnya.

Jelasnya, beliau yakin dengan semua pindaan yang dicadangkan di atas, kerajaan telah mencapai matlamat terhadap Transformasi Kerajaan dan Transformasi Parlimen dengan jayanya.

“Kita juga percaya bahawa segala Transformasi ini akan membawa kebaikan bersama kepada negara dan rakyat jelata pada keseluruhanya memandangkan ia merupakan satu persetujuan dwi-partisan atas inisiatif Kerajaan,” tambahnya.

Untuk makluman, sebanyak sembilan RUU yang sedia untuk Bacaan Kedua pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima Parlimen Keempat Belas Tahun 2022, 13 RUU yang diluluskan Jemaah Menteri dijangkan akan dibuat bacaan pertama dan 10 RUU serta Pindaan Perlembagaan termasuk daripada Kementerian-kementerian lain. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI