fbpx

Mahkamah: `Kerabat’ pemurah hadiahkan AS$1.17 bilion kepada Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, Datuk Seri Najib Tun Razak dijanjikan hadiah wang tunai AS$1.17 bilion (RM5.43 bilion) daripada individu yang didakwa kerabat Diraja Arab Saudi bagi menghargai peranan beliau selaku pemimpin Islam moden ketika berjawatan Perdana Menteri.

Hadiah tersebut didakwa diberikan oleh bekas Gabenor Wilayah Madinah, Saud Abdulaziz Majid Al Saud melalui dua pucuk surat yang dialamatkan kepada Najib.

Perkara itu dikemukakan oleh pihak pembelaan ketika menyoal balas Ketua Pasaran Modal Perbankan Persendirian AmBank, Yap Wai Keat pada perbicaraan terhadap Najib atas pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

Surat pertama bertarikh 1 November 2011 menyebut hadiah AS$375 juta itu disalurkan sama ada daripada akaun peribadi `kerabat’ tersebut atau daripada akaun syarikat Blackstone Asia Real Estate Partners Limited.

Mahkamah turut diberitahu, surat kedua bertarikh 1 Mac 2013 pula menyebut AS$800 juta dikeluarkan sama ada daripada akaun peribadi beliau atau daripada akaun syarikat Tanore Finance Corp.

Blackstone merupakan syarikat yang dikaitkan dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low manakala Tanore pula syarikat yang dikawal oleh sekutu perniagaan Jho Low, iaitu Eric Tan Kim Loong.

Jumlah AS$1.17 bilion itu merupakan tambahan kepada hadiah AS$100 juta yang dijanjikan oleh `kerabat’ tersebut seperti yang dikemukakan melalui keterangan Pengurus Cawangan Ambank (M) Berhad Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi.

Minggu lalu, Wai Keat turut berkata, sejumlah RM60.6 juta didepositkan ke dalam akaun Najib oleh seorang lagi kerabat Diraja Arab Saudi, Putera Faisal Turkey Bandar Al Saud melalui dua transaksi pada Februari dan Jun 2011.

Pada prosiding hari ini, surat berkenaan yang dirujuk kepada Wai Keat menyatakan, bekas Gabenor Wilayah Madinah itu tidak mengharapkan sebarang faedah peribadi sama ada secara langsung atau sebaliknya terhadap hadiah yang diberikan.

“Hadiah ini tidak boleh ditafsir sebagai rasuah kerana perbuatan itu bercanggah dengan hukum Islam dan secara peribadinya saya tidak menggalakkan amalan sedemikian dalam apa cara sekalipun.

“Ini hanya penghargaan peribadi dan saya berharap hadiah ini sebagai penggalak usaha-usaha memperkenalkan Islam ke serata dunia,” ujar `kerabat’ itu dalam surat berkenaan.

Menurut surat itu, `kerabat’ tersebut tertarik dengan hasil usaha bekas Perdana Menteri melaksanakan prinsip berlandaskan Islam ketika memperkenalkan Malaysia ke mata dunia terutama selepas tanggapan global diberikan ekoran tragedi 9/11.

Surat itu turut menyatakan, wang berkenaan hanya hadiah dan akan dimasukkan ke dalam akaun Najib pada bila-bila masa yang bersesuaian dan bekas Perdana Menteri mempunyai budi bicara untuk menentukan bagaimana ia digunakan.

Pada sesi pemeriksaan balas oleh peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed, saksi pendakwaan ke-38 itu ditanya sama ada Pengurus Perhubungan Ambank, Joanna Yu pernah memaklumkan kepadanya wang tersebut berbentuk hadiah.

Bagaimanapun, Wai Keat berkata, beliau tidak pasti namun apa yang diketahuinya wang itu sama ada suatu hadiah, sumbangan atau pindahan peribadi daripada pemberi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Beliau memberi keterangan pada perbicaraan terhadap Najib, 69, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI