PETALING JAYA – Kerajaan akan menyemak semula kategori kumpulan pendapatan berdasarkan hasil Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas tahun 2022.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kategori kumpulan pendapatan isi rumah yang baharu akan memantapkan lagi penggubalan dasar dan menambah baik penyampaian perkhidmatan kepada kumpulan sasar.
“Analisis data Survei akan dilaksanakan pada awal tahun depan dan dijangka siap pada suku pertama tahun depan.
“Semakan ini akan mengambil kira antaranya perubahan struktur pendapatan dan perbelanjaan, kos sara hidup, demografi serta lokasi isi rumah,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu Perdana Menteri menyatakan perangkaan terkini butiran kategori pendapatan berkenaan isi rumah mengikut kategori B40, M40, T20 menurut pecahan tahun 2019, 2020, 2021 dan 2022.
Mustapa berkata, pada masa ini Jabatan Perangkaan Malaysia sedang melaksanakan Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas 2022 melibatkan 92,000 isi rumah bermula daripada Januari 2022 hingga Disember 2022.
“Sampel yang secukupnya adalah penting untuk melihat corak pendapatan dan perbelanjaan isi rumah Malaysia dalam tahun 2022.
“Pengelasan kumpulan pendapatan ini penting untuk kerajaan menyalurkan bantuan secara bersasar kepada B40 termasuk isi rumah miskin dan miskin tegar,” ujarnya.
Katanya, kini isi rumah Malaysia dikelaskan kepada tiga kategori kumpulan pendapatan utama iaitu B40, M40 dan T20.
“Kategori yang terkini adalah berdasarkan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES & BA) tahun 2019 seperti; B40 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan, kurang daripada RM4,850 meliputi 2.91 juta isi rumah.
“Manakala M40 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan, di antara RM4,850 hingga RM10,959 meliputi 2.91 juta isi rumah dan T20 adalah kumpulan isi rumah berpendapatan bulanan, RM10,960 dan ke atas meliputi 1.46 juta isi rumah,” katanya. – KOSMO! ONLINE.