GEORGE TOWN – Seorang pemuda dikhuatiri lemas selepas dipercayai bertindak terjun dari Kilometer (KM) 18.0 Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau lebih dikenali sebagai Jambatan Pulau Pinang Kedua menghala ke Bandar Cassia, Batu Kawan dekat sini petang tadi.
Mangsa berusia 35 tahun dikatakan telah meninggalkan keretanya itu di tepi tembok bersama telefom bimbit di tempat duduk penumpang hadapan.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku kira-kira pukul 7.28 petang tadi dan tiba ke situ kurang 10 minit kemudian.
“Apabila pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru tiba di lokasi kejadian mendapati mangsa telah bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang Kedua itu.
“Sehingga kini, mangsa masih belum ditemui. Maklumat lanjut berhubung penemuan mangsa akan dikemaskini nanti,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.
Pada 5 Jun lalu, Kosmo! melaporkan seorang lagi anak muda yang juga individu ke-17 tahun ini dilaporkan bertindak terjun dari KM 7.4 Jambatan Pulau Pinang, menghala ke Perai dekat sini kira-kira pukul 8.20 pagi.
Mangsa dipercayai dari Kuala Lumpur sebelum itu telah meninggalkan sebuah motorsikal jenis Yamaha 125ZR berwarna merah di atas jambatan berkenaan. -KOSMO! ONLINE