MANCHESTER – Derbi Manchester menjadi milik Manchester City apabila langsung tidak menunjukkan belas kasihan selepas membelasah Manchester United 6-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Etihad sebentar tadi.
Keputusan itu memberi tamparan hebat buat The Red Devils yang mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menang empat kali berturut-turut termasuk menewaskan Arsenal dan Liverpool sebelum ini.
Pelaburan City mendapatkan khidmat penyerang Norway, Erling Haaland pada jendela perpindahan lalu nyata berbaloi apabila dia terus mengekalkan aksi konsisten dengan meledak hatrik dalam perlawanan itu.
Lebih membanggakan, bekas pemain Borussia Dortmund itu melakar sejarah baharu Liga Perdana apabila menjadi pemain pertama melakukan jaringan hatrik dalam tiga perlawanan berturut-turut di laman sendiri.
Penyerang muda City, Phil Foden tidak kurang hebatnya apabila turut mengikut jejak langkah Haaland dengan menjaringkan hatrik, sekali gus membolehkan The Citizens terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Arsenal.
United dilihat cuba mengubah corak permainan dengan melakukan beberapa pertukaran di separuh masa kedua dan ia berbaloi apabila mereka berjaya menjaringkan tiga gol menerusi satu jaringan Anthony serta dua gol Anthony Martial.
Sementara itu, pengurus legenda United, Sir Alex Ferguson yang hadir pada perlawanan tersebut kelihatan sugul selain sebahagian penyokong The Red Devils bertindak meninggalkan stadium sebelum tamat separuh masa pertama.
Jika dilihat pada statistik perlawanan, skuad kendalian Pep Guardiola itu layak untuk mendapatkan tiga mata apabila menguasai sepenuhnya permainan dengan melakukan sembilan percubaan tepat ke arah pintu gol United.-KOSMO! ONLINE