fbpx

10 tahun berjiran sampah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah seorang warga emas yang dipenuhi sampah di Taman Bersatu, Simpang Pulai. – ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Sejak lebih sepuluh tahun lalu, seorang wanita warga emas hidup dalam timbunan sampah sarap yang memenuhi kediamannya di Taman Bersatu dekat Simpang Pulai di sini.

Setiap sudut rumah dipenuhi plastik, kotak, sisa makanan dan minuman itu telah menyebabkan bau busuk yang memualkan serta persekitaran dipenuhi lalat dan nyamuk.

Keadaan itu mendatangkan perasaan tidak selesa dalam kalangan jiran wanita berusia 63 tahun itu hingga mereka terpaksa membuat laporan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk tindakan lanjut.

Seorang jiran terdekat, Agnes Kam, 65, berkata, dia pernah menegur perbuatan wanita itu yang gemar mengumpul sampah, namun teguran itu bukan sahaja tidak diendahkan malah dimarahi semula.

Katanya, keadaan yang kotor dan menjijikkan itu juga menyebabkan dia terpaksa menutup semua tingkap dan pintu bagi mengelakkan terhidu bau busuk.

“Wanita itu kutip sampah terlalu banyak sehingga dia sendiri terpaksa memanjat timbunan sampah itu untuk masuk ke dalam rumah.

“Keadaan sampah yang tidak terurus itu sangat membimbangkan kami kerana takut menjadi tempat haiwan berbisa dan pembiakan nyamuk aedes,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Menurut Agnes, rumahnya pernah dimasuki ular sebelum haiwan berbisa itu ‘hilang’ di dalam rumah wanita terbabit.

“Setiap hari kami terpaksa berdepan dengan bau busuk lebih-lebih lagi apabila hari hujan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi jiran, Mohd. Hanifah Pareeth, 67, berkata, pihaknya telah membuat laporan polis dan a­duan kepada PBT selepas tidak tahan dengan perbuatan pelik wanita itu.

Katanya, tiga tong besar pernah digunakan untuk membuang sampah tersebut, namun keadaan bersih itu tidak bertahan lama kerana wanita itu akan kembali mengutip sampah.

“Banyak kali kami tegur tetapi alasannya sampah yang dikutip itu mahu dijual,” ujarnya.

Sementara itu, wanita ber­kenaan ketika ditemui memaklumkan tindakannya itu adalah untuk menjaga alam sekitar.

Dia yang tinggal seorang diri berkata, barang yang dikutip dan dikumpul dari kedai berhampiran rumahnya seperti kotak dan botol plastik minuman itu akan dijual di kedai
kitar semula.

“Saya hanya tolong untuk bersihkan alam sekitar. Lagipun barang-barang yang saya kutip ini boleh dikitar semula dan ada nilai ekonomi.

“Saya tidak fikir langsung tentang duit, jika jual pun hanya dapat antara RM2 ke RM3 sahaja. Kadang-kadang seharian tiada untung,” ujarnya.

Menurutnya, dia menyedari bahawa perbuatannya itu tidak disenangi jiran-jiran di sekitar taman perumahan tersebut.

Katanya, dia mahu berpindah ke rumah lain yang lebih luas untuk menempatkan semua barang terbuang yang dikumpulnya.

“Saya tahu mereka marah dan melemparkan kata-kata kurang baik kepada saya.

“Mereka tidak percaya saya mahu jual semula barang-barang ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI