fbpx

Jin Wei terlepas gelaran Terbuka Vietnam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JIN WEI

KUALA LUMPUR – Hasrat perseorangan wanita profesional negara, Goh Jin Wei untuk merangkul gelaran sulung musim ini tidak tertunai selepas tewas pada perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Vietnam sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nguyen Du, Ho Chi Minh, bekas juara remaja dunia itu terpaksa akur dengan kekalahan straight set 15-21, 13-21 kepada pemain tuan rumah, Nguyen Thuy Linh.

Meskipun memulakan perlawanan menerusi aksi positif pada awal set pertama dengan kelebihan 12-9, namun Jin Wei gagal mempertahankan kedudukan tersebut apabila membenarkan lawan bangkit dan menyamakan kedudukan 13-13.

Bekas perseorangan wanita No.1 negara itu kemudian terus membenarkan Thuy Linh untuk mendominasi permainan dan mengutip demi mata sebelum memastikan kemenangan di set pertama 21-15.

Memasuki set kedua, Jin Wei turun dengan harapan mengheret perlawanan ke set penentuan, namun Thuy Linh dilihat cukup sukar untuk diatasi apabila meletakkan Jin Wei dalam keadaan cukup tertekan.

Skrip sama dilihat kembali berulang apabila pemain tuan rumah itu mengutip mata demi mata sehingga berjaya menjarakkan diri dengan perbezaan mata cukup besar 12-6, sekali gus menutup peluang Jin Wei untuk melakukan kebangkitan.

Pemain No.50 dunia itu kemudiannya cuba melakukan apa yang termampu bagi merapatkan kedudukan, namun Thuy Linh berjaya bertahan dengan baik sebelum melengkapkan kemenangan 21-13 di set kedua.

Sebagai rekod, perlawanan hari ini merupakan pencapaian terbaik Jin Wei musim ini selepas melayakkan diri ke peringkat separuh akhir ketika menyertai kejohanan Antarabangsa Itali di Milan, Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI