LIPIS – Ketika pemuda lain berpeluang keluar bekerja dan menjalani kehidupan bahagia berkeluarga, namun nasib Khairulezwan Ibrahim, 30, berbeza apabila dia terpaksa berulang- alik ke hospital akibat penyakit kanser darah.
Penyakit yang dikesan sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan dia tidak lagi dapat bekerja dan perlu menjalani rawatan susulan di Hospital Ampang termasuklah menjalani kemoterapi.
“Pada usia ini saya tidak dapat membantu keluarga, sebaliknya terpaksa bergantung kepada mereka untuk urusan harian.
“Setiap kali menjalani rawatan di Hospital Ampang, ahli keluarga terpaksa mengeluarkan kos sebanyak RM1,200 untuk dua hari dan sekiranya berulang-alik dua kali sebulan, perbelanjaan hampir RM2,500,” katanya di sini.
Dalam pada itu, menceritakan mengenai penyakit dideritainya, Khairulezwan berkata, ia bermula apabila dia diserang batuk berpanjangan dan sesak nafas.
Katanya, dia kemudian dibawa ke Hospital Lipis untuk mendapatkan rawatan sebelum didapati mengalami bengkak kelenjar dan komplikasi di bahagian dada.
“Kemudiannya saya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan untuk pemeriksaan seterusnya dan doktor mengesahkan saya menghidap penyakit kanser darah sebelum saya mula menjalani kimoterapi di Hospital Ampang,” ujarnya.
Khairulezwan memberitahu, dalam tempoh tiga tahun, dia sudah sembilan kali menjalani kemoterapi dan 12 kali radioterapi serta sekali pemindahan darah untuk tujuan rawatan.
Sementara itu, ibunya, Hawa Mudu, 70, berkata, dia sebak melihat perubahan fizikal anaknya yang semakin kurus dan kadang-kadang mengalami tekanan.
Katanya, pada masa ini anaknya itu tidak menerima sebarang bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan pusat zakat.
Bagi yang ingin membantu boleh menghubungi Khairulezwan di talian 014-6639198 atau menyumbang ke akaun Bank Simpanan Nasional (Khairulezwan) 4773950004718006.