LIVERPOOL – Aksi hambar terus ditampilkan Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila mencatat keputusan seri 3-3 ketika melayan kunjungan Brighton di Anfield malam kelmarin.
Penyerang Brighton, Leandro Trossard menampilkan aksi cukup memukau pada perlawanan tersebut apabila meledak hatrik, manakala Liverpool memperoleh tiga gol menerusi dua jaringan Roberto Firmino dan gol sendiri Adam Webster.
Pengurus The Reds, Jurgen Klopp berang dengan aksi yang ditampilkan barisan pemainnya apabila Liverpool terus bergelut untuk menjaringkan gol awal sehingga menyebabkan pasukan berada dalam situasi sukar.
“Saya sudah bercakap dengan semua pemain dan mereka tahu kami perlukan reaksi dalam setiap perlawanan. Gol pertama hari ini (kelmarin) berikan impak cukup besar kepada kedua-dua pasukan.
“Ketika Brighton memulakan perlawanan dengan baik, saya sudah jangka kami tampilkan permainan ‘sampah’ sekali lagi.
Bagaimanapun, saya gembira kerana kami tidak mengalah dan bangkit semula,” luah pengurus dari Jerman itu.
Klopp juga mengakui sedar dengan kedudukan Liverpool yang hanya mengutip 10 mata dalam tujuh perlawanan, namun beliau menggesa anak-anak buahnya supaya tidak mudah mengalah dan bangkit lebih baik selepas ini.
“Saya tahu kami hanya mengutip 10 mata setakat ini dan itu adalah realiti, jadi kami tidak boleh mengelak. Apa yang paling penting sekarang adalah kami perlu bekerjasama dan bina kembali pasukan,” ujarnya. – AGENSI