LONDON – Pengurus Chelsea, Graham Potter meraih kemenangan pertama bersama The Blues selepas bangkit menewaskan Crystal Palace 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Selhurst Park malam kelmarin.
Pada perlawanan itu, The Eagles terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Odsonne Edouard sebelum Chelsea bangkit dengan dua gol hasil jaringan Pierre-Emerick Aubameyang dan Conor Gallagher.
Meskipun dilihat bergelut sepanjang perlawanan, namun Potter tetap gembira selepas barisan pemainnya tidak mudah mengalah meskipun ketinggalan seawal minit ketujuh beraksi di gelanggang lawan.
“Kami sangat gembira dengan kemenangan hari ini (kelmarin) kerana Selhurst Park bukanlah tempat yang mudah untuk berkunjung. Secara jujur, kami bermula baik, tetapi gol awal membuatkan kami agak bergelut.
“Kredit kepada semua pemain kerana mereka menunjukkan semangat juang tinggi dan tidak mudah mengalah. Gol penyamaan menerusi Aubameyang membantu kami untuk kembali bersaing mendapatkan tiga mata,” katanya.
Pada masa sama, bekas pengendali Brighton itu mengakui bek tengah, Thiago Silva bernasib baik tidak dilayangkan kad merah selepas dia dilihat menepis bola menggunakan tangan ketika Palace mahu melancarkan serangan.
“Saya fikir ia adalah sentuhan. Mungkin kedudukan dia yang sedikit jauh dari pintu gol menyelamatkannya daripada layangan kad merah. Saya faham mengapa Patrick Vieira (pengurus Palace) kecewa dengan keputusan pengadil,” ujar Potter. – AGENSI