MALLORCA – Penyerang utama Barcelona, Robert Lewandowski terus menunjukkan penyudah tajamnya apabila menjaringkan gol dalam enam perlawanan La Liga berturut-turut buat gergasi Sepanyol itu.
Terbaharu, Lewandowski, 34, meledak satu gol dalam kemenangan 1-0 ke atas Real Mallorca di Stadium Iberostar awal pagi semalam untuk meletakkan The Catalans di puncak liga buat seketika.
Ia adalah gol peribadinya yang kesembilan untuk kempen La Liga musim ini dan ke-12 secara keseluruhan selepas meledak hatrik ketika menewaskan Viktoria Plzen dalam aksi Liga Juara-Juara pada Julai lalu.
Kecemerlangan Barcelona bukan semata-mata disebabkan Lewandowski, tetapi juga kerana ketangkasan penjaga gol, Marc-Andre Ter Stegen memastikan gawangnya tidak bolos dalam lima aksi La Liga berturut-turut.
Ia secara tidak langsung menyaksikan Ter Stegen kini mencatat rekod peribadi baharu beraksi selama 534 minit tanpa bolos dalam kempen La Liga, memadam rekod lamanya 500 minit sebelum ini.
Bukan itu sahaja, jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez juga mencipta rekod La Liga baharu dengan 18 perlawanan tanpa kalah, mengatasi bekas pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane.
“Rekod tidak bermakna sekiranya kami tidak menang. Kemenangan ini amat penting untuk memberi keyakinan kepada pemain sebelum berdepan minggu yang mencabar buat kami selepas ini.
“Kemenangan ini juga memastikan kami terus memberikan tekanan kepada Real kerana kami cuma ketinggalan satu mata jika mereka menang,” kata Xavi. – AFP