fbpx

Insan istimewa sebenar dalam kalangan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHAMAD AZLAN JAAFAR
PENGARANG KUMPULAN MEDIA MULIA

Seorang pelajar daripada keluarga daif dari pedalaman Kelantan mendapat keputusan cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Keluarganya sangat gembira apabila dia mendapat tempat di sebuah sekolah berasrama ternama kerana pencapaiannya.

Kerana kesempitan wang, orang kampung menyumbang untuk membolehkan keluarganya membeli keperluan diperlukan untuk masuk ke sekolah itu. Ibu dan anak itu menaiki kereta api ke ibu negara berbekalkan wang seadanya.

Walaupun kehilangan kedua-dua ibu bapa sepanjang lima tahun belajar di sekolah yang jauh dari kampung, dia tekun, tabah dan terus berusaha memenuhi amanat kedua-dua ibu bapa. Berkat daya usaha dan doa, pada Oktober ini dia akan menyambung tahun kedua pengajian bidang kejuruteraan di sebuah IPT awam.

Keazaman yang ditunjukkan gadis muda itu tanpa kehadiran kedua-dua orang tua dalam hidupnya dan hanya sokongan abang-abang dan kakak, serta dalam keadaan jauh daripada mewah, dapat meleburkan hati yang sekeras batu. Gadis ini adalah istimewa.

Kisah perjalanan insan-insan yang menongkah arus kesusahan hidup untuk terus berusaha dan berjaya banyak kita dengar atau baca.

Baru-baru ini, Kosmo! sendiri memaparkan kisah seorang ibu yang menggunakan motosikal untuk membawa anak sulungnya ke Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang sejauh kira-kira 50 kilometer pada hari pendaftaran.

Sukar untuk tidak merasa pengorbanan besar seorang ibu. Semua tahu apa yang mampu dibawa dengan motosikal semasa mendaftarkan anak di universiti. Kebanyakan penuntut universiti datang dengan beberapa beg.

Jumiati Masud, 53, seorang peniaga kuih, kembali ke rumah di Simpang Ampat, Nibong Tebal selepas menghantar Muhammad Izzulhaq Mohamed Hasnan, 19.

“Saya tidak kisah terpaksa menempuh perjalanan yang jauh untuk menghantarnya kerana mahu lakukan yang terbaik untuk anak saya,” jelas ibu kepada tiga cahaya mata lelaki itu.

Muhammad Izzulhaq juga terharu dengan pengorbanan ibunya dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh untuk memberikan kesenangan kepada ibunya.

“Saya juga risau lihat ibu balik sendiri ke rumah, namun terpaksa akur kerana ibu tekad dan sanggup bersusah-payah demi saya,” kata pelajar yang meraih purata nilai gred kumulatif 3.96 dari Kolej Matrikulasi Pulau Pinang.

Di negara ini masih terdapat banyak poket-poket kesusahan masyarakat. Ini bukan khusus untuk Malaysia. Malah, di mana-mana sahaja di dunia termasuk di negara maju ada rakyat yang susah.

Apa yang boleh dilakukan ialah mengenal pasti anak-anak muda berpotensi ini untuk dibantu. Jaringan sosial atau social safety net yang lebih berkesan perlu supaya anak-anak istimewa ini mencapai potensi. Mereka ini adalah harapan Malaysia pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI