KETIKA mahasiswa lain menghabiskan cuti semester mereka dengan bersantai di rumah atau membuat kerja sambilan, perkara sebaliknya dilakukan oleh Addeena Ahmad.
Gadis berusia 21 tahun itu memilih mencari pendapatan tambahan dengan menulis buku sajak sebelum dijual menerusi platform online kepada para pengikutnya.
Addeena yang berasal dari Bandar Baru Bangi, Selangor memaklumkan, dia mula menulis buku sajak berbahasa Inggeris berkenaan sejak Disember tahun lalu.
Jelasnya, buku bertajuk My Crowning Glory itu telah diterbitkan pada 23 September lalu dan habis terjual dalam tempoh dua hari selepas melakukan promosi menerusi media sosial.
“Sejak dahulu lagi, saya memang suka menulis sajak. Bermula tahun lalu, saya mula aktif mendeklamasi sajak menerusi Instagram Live. Dari situ, saya dapat maklum balas positif daripada pengikut.
“Ini mendorong saya untuk menerbitkan buku. Naskhah ini mengandungi 40 sajak yang berkisar mengenai hidup remaja seperti kesunyian dan cinta,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.
Menariknya, Addeena turut terlibat menghasilkan ilustrasi kulit buku tersebut, selain mengeluarkan duit sendiri bagi menampung kos mencetak mencecah RM400 bagi 50 naskhah.
Menurutnya, tujuan utama buku itu dihasilkan bukanlah untuk mengejar keuntungan semata-mata, sebaliknya dia ingin memenuhi permintaan para pengikut di media sosial.
“Ada pembaca kurang menghayati apabila membaca sajak di media sosial. Disebabkan itu, saya tampil dengan naskhah ini. Saya akan terus mencetaknya selagi ada permintaan,” ujarnya.
Selain menulis sajak, penuntut Ijazah Sarjana Muda Sains Aktuari di Universiti Malaya (UM) itu turut aktif menggubah bunga apabila sering membantu menyiapkan tempahan yang diterima ibunya.
Katanya, dia sering membantu menggubah bunga untuk majlis perkahwinan dan pertunangan, selain diberi diberi kepercayaan ibunya bagi mendapatkan bekalan gubahan di kedai.
“Sebelum buku diterbitkan, saya selalu bantu ibu menggubah bunga yang ditempah. Saya juga merupakan orang bertanggungjawab membeli bunga, daun dan pasu di kedai,” ujarnya.
Bagi memastikan tubuhnya kekal cergas, Addeena meluangkan masa sekurang-kurangnya dua kali seminggu untuk berenang di kolam awam.
Addeena memberitahu, dia telah masuk ke kelas renang sejak berusia 10 tahun, namun bermula tahun lepas dirinya kembali aktif ke kolam bagi merehatkan badan dan minda.
“Sebelum ini, saya aktif dalam pelbagai sukan seperti bola jaring dan futsal. Pada tahun lalu, saya ingin kembali berenang secara aktif bagi mengisi masa lapang,” ujarnya.
Dalam pada itu, Addeena memberitahu, dia bakal mengundi buat pertama kali dalam hidup pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.
Katanya, dia akan memanfaatkan satu undinya bagi memilih pemimpin yang betul-betul ada kemampuan dan karisma bagi mentadbir kerajaan.
“Saya rasa amat teruja bakal mengundi buat pertama kali. Saya akan keluar mengundi bagi memilih pemimpin yang benar-benar layak menjadi ketua di negara ini.
“Saya tidak bersetuju dengan pendapat, undi siapapun jadi pemimpin, sama sahaja. Hak pengundi adalah untuk memilih yang terbaik,” katanya.