SKUAD bawah 17 tahun (B-17) negara lulus ujian pertama kelayakan Piala Asia B-17 2023 dengan kemenangan selesa 4-0 ke atas Palestin pada aksi pertama Kumpulan B di Stadium Pakansari, Bogor kelmarin.
Begitupun, ketua jurulatih skuad Harimau Muda, Osmera Omaro masih belum berpuas hati dengan beberapa aspek permainan ditunjukkan anak-anak buahnya biarpun meraih tiga pertama di bumi Indonesia.
Osmera menuntut penyudah lebih tajam terutama daripada jentera serangan dalam tempoh rehat yang dimiliki sebelum menghadapi aksi kedua menentang Guam pada Rabu ini.
“Permulaan baik dan kemenangan yang selesa. Kita menguasai keseluruhan permainan dan sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol termasuk penalti yang kita terlepas.
“Saya belum puas hati dengan beberapa aspek permainan kita yang masih boleh ditambah baik lagi. Tajamkan penyudah, baiki kombinasi, cepat kenal pasti peluang untuk eksploitasi ruang.
“Solidariti yang lebih baik juga perlu ditunjukkan ketika bertahan. Kita masih ada sedikit masa untuk baiki kelemahan yang berulang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Skuad Harimau Muda meraih empat gol menerusi Muhammad Anjasmirza Saharudin pada minit ke-50, Muhamad Faris Danish Mohd. Asrul (m-68), Muhammad Arami Wafiy Mohamad Zakimi (m-74) dan Muhammad Zainurhakimi Zain Azraii (m-87)
Satu lagi aksi Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Pakansari kelmarin menyaksikan Emiriyah Arab Bersatu membelasah Guam 9-0.