PUTRAJAYA – Yayasan Wiba Prima dengan kerjasama Drawzania dan Xperts merancang untuk melahirkan 2,000 usahawan tutor online (UTO) menjelang 2024.
Pengerusinya, Datuk Dr. Kamilia Ibrahim berkata, buat masa ini, seramai 30 kumpulan pertama UTO sudah dilahirkan selepas menjalani latihan selama tiga bulan sejak Mac lalu.
Beliau berkata, program tersebut diilhamkan oleh Yayasan Wiba Prima dengan kerjasama Drawzania yang bermatlamat melatih golongan B40 untuk mengendalikan kelas melukis secara dalam talian.
“Sebelum bergelar usahawan, mereka ini akan menerima latihan menerusi kemahiran ‘Freehand Visualisation Skills (FVS)’ yang dilatih oleh Drawzania.
“FVS adalah satu kemahiran yang sangat penting untuk menjadikan seseorang itu lebih kreatif dan inovatif,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian UTO di sini, hari ini.
Katanya, pihaknya turut merancang untuk memperluas FVS ke peringkat lebih tinggi termasuk mewujudkan satu akademi dan pusat pengajian khusus bagi program kemahiran melukis itu.
Dalam pada itu, Pengasas Drawzania, Dr. Ruzaimi Mat Rani berkata, beliau yakin program UTO dapat menjana pendapatan kepada usahawan selain mewujudkan komuniti kreatif dan inovasi.
Katanya, sehingga kini, sudah ada usahawan yang telah berjaya menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan hasil menganjurkan kelas FVS.
“Saya percaya tanpa kemahiran ini, daya kreativiti dan inovatif seseorang tidak akan dapat dicapai secara optimum,” katanya.
Ujarnya, beliau mempunyai rancangan yang besar untuk membudayakan kemahiran FVS dalam masyarakat kerana ia pendekatan penting dalam mencorak negara pada masa depan.
“Program tersebut bertujuan melatih peserta menjadi usahawan kelas melukis berjenama sendiri secara dalam talian dan fizikal.
“FVS adalah sangat penting dalam menjana idea-idea kreatif dan inovatif dalam semua subjek, malah kemahiran ini juga berkait rapat dengan komunikasi visual, jelasnya. – KOSMO! ONLINE