fbpx

Bajet 2023: Lestari penyenggaraan bangunan, peralatan di politeknik, kolej komuniti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainab (kiri) dan Dr. Mohd Zahari ketika merasmikan Pusat Inovasi dan Pengkomersilan JPPKK di PSA, hari ini.

SHAH ALAM – Kerajaan disaran menyediakan peruntukan khas bagi melestarikan lagi institusi politeknik dan kolej komuniti dalam pembentangan Bajet 2023 pada Jumaat depan.

Kelestarian itu melibatkan faktor penyenggaraan bangunan dan peralatan bagi kemahiran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Zainab Ahmad berkata, pihaknya sudah memberi input mengenai perkara itu kepada Kementerian Kewangan sebelum ini.

Kata beliau, beberapa bangunan politeknik sudah berusia lebih 30 tahun dan agak usang selain turut menggunakan peralatan lama.

“Kami berasakan institusi itu perlu dibantu dari segi penyenggaraan sama ada melibatkan bangunan mahu pun alatan sedia ada.

“Langkah itu selaras dengan usaha bersama membekalkan apa yang terbaik untuk industri dan diharap mendapat perhatian kerajaan menerusi peruntukan khas pada Bajet nanti,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Pusat Inovasi dan Pengkomersilan JPPKK di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) di sini, hari ini yang turut dihadiri pengarah PSA, Dr. Mohd. Zahari Ismail.

Zainab juga sebelum itu menyempurnakan Majlis Konvokesyen PSA ke-23 yang dihadiri seramai 1,684 graduan selama dua hari bermula semalam.

Tambah Zainab, pihaknya yakin semua universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) turut mengharapkan perkara sama demi kemajuan sektor pendidikan negara.

“Kita kini dianggap antara pusat pendidikan tinggi terbesar yang meliputi 36 politeknik dan 104 kolej komuniti di seluruh negara.

“JPPKK senada dengan semua institusi pendidikan lain dan semestinya memfokuskan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI