fbpx

Kerajaan pertimbang teruskan bantuan tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Marzuk (dua kiri) menyampaikan hadiah utama cabutan bertuah pada Program Hari Sayyidatina Khadijah di Putik, Pengkalan Chepa, Kota Bharu hari ini.

KOTA BHARU – Kerajaan berhasrat untuk meneruskan bantuan haji bagi memastikan setiap jemaah mampu menunaikan rukun Islam kelima itu berikutan kenaikan kos ketika ini.

Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, bagaimanapun, kerajaan akan turut memberi kesedaran kepada jemaah yang berkemampuan agar membayar penuh kos mengerjakan haji tanpa mengharapkan bantuan.

“Perlu dijelaskan bahawa perkara yang dianggap bantuan haji sebenarnya adalah bantuan mengerjakan haji kerana wang yang digunakan tidak datang daripada kerajaan.

“Kerajaan masih berhasrat meneruskan bantuan ini pada tahun depan meskipun berdepan dengan peningkatan kos agak tinggi ketika ini,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Hari Sayyidatina Khadijah Parlimen Pengkalan Chepa di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik), di sini hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, ramai dalam kalangan jemaah haji merupakan golongan B40, namun jumlah bantuan itu tiada perbezaan.

Katanya, kerajaan amat mengalu-alukan malah menggalakkan jemaah membayar penuh kos haji jika berkemampuan.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk membuat keputusan berkenaan perkara ini. Kos mengerjakan haji meningkat setiap tahun kerana melibatkan tambang penerbangan dan sewa penempatan.

“Kenaikan kos itu turut dipengaruhi kenaikan Cukai Nilai Tambah (VAT) oleh Kerajaan Saudi yang kini melebihi 15 peratus. Ia sama seperti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang pernah digunakan di negara ini.

“Sebagai contoh, sekiranya perbelanjaan yang perlu dikeluarkan di Arab Saudi mencecah RM1,000, ini bermakna kos yang perlu dikeluarkan adalah RM1,150,” katanya.

Tambahnya, selain itu, peningkatan kadar inflasi yang melanda dunia turut memberi kesan kerana ia turut melibatkan Arab Saudi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI