MELAKA – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri merekodkan sebanyak 88 kes penderaan kanak-kanak sejak awal tahun sehingga Ogos lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin berkata, angka itu dilihat membimbangkan dengan lebih sebahagian melibatkan penderaan fizikal.
“Mengikut pecahan, 51 kes atau 57 peratus daripada jumlah itu adalah kes penderaan fizikal, manakala baki 37 adalah secara seksual.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri juga merekodkan sebanyak 43 kes di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dalam tempoh sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak peringkat negeri Melaka, di Bachang, di sini, hari ini.
Tambahnya, kes direkodkan PDRM itu turut menyaksikan peningkatan melebihi 50 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu yang mencatatkan 17 kes.
Mengulas lanjut beliau berkata, kes-kes yang direkodkan melibatkan pelaku dalam kalangan ibu bapa, adik-beradik, saudara-mara, pihak taska dan pusat jagaan.
“Kesemua kanak-kanak malang ini kita selamatkan dan kita percaya kejadian ini didorong oleh pelbagai faktor terutama emosi si pelaku yang terdiri daripada pelbagai pihak.
“Ada kes berlaku di mana ibu bapa tidak dapat mengawal kemarahan dan telah melampiaskan tekanan itu ke atas anak mereka,” katanya.
Tambahnya, JKM juga telah menyediakan rumah transit bagi mangsa penderaan dan keganasan rumah tangga yang memerlukan perlindungan sehingga kes dapat diselesaikan. – KOSMO! ONLINE