JOHOR BAHRU – Hasrat seorang pelanggan untuk membasuh baju di pusat dobi layan diri di Jalan Impian Emas 22, Taman Impian Emas, semalam terbantut apabila menemukan seekor ular sawa di dalam mesin basuh.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Mohd. Jamal berkata, pelanggan tersebut kemudian melaporkan kejadian kepada pemilik premis yang kemudian menghubungi anggota bomba.
Beliau berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Negeri Johor menerima panggilan kecemasan itu pada pukul 9.41 pagi.
Katanya, seramai tiga anggota bomba dari BBP Larkin menaiki kenderaan utiliti Pajero bergegas ke lokasi yang diketuai oleh Komander Operasi, Penguasa Bomba Kanan II, KUP Mohd. Ali Mat
“Menurut Komander operasi, mereka menemukan seekor ular sawa berukuran enam kaki seberat 20 kilogram yang berada di dalam salah satu mesin basuh di kedai tersebut.
“Anggota di lokasi bertindak menangkap ular tersebut dengan menggunakan penjerut dan dilepaskan di kawasan jauh dari penempatan orang awam,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
Suhaimi berkata, reptilia yang ditemui itu tidak berada dalam keadaan agresif ketika cuba ditangkap anggota terlibat.
Ujarnya lagi, pihaknya juga hairan bagaimana reptilia itu boleh berada di kawasan tersebut sebelum melepaskan haiwan itu ke tempat yang selamat. – KOSMO! ONLINE