Oleh NURFARHANA MOHAMED
BUKAN mudah buat pelakon dan pengacara Betty Banafe memikul gelaran ibu tunggal setelah sah bercerai setahun lalu.
Namun, demi sepasang cahaya mata yang masing-masing berusia tujuh dan lima tahun, Betty gigih menyara kehidupan mereka bertiga tanpa lelah.
“Perceraian adalah satu perkara memeranjatkan, terutama sekali kepada keluarga dan sahabat rapat apabila saya memberitahu dalam proses bercerai.
“Mereka seakan-akan tidak percaya dengan keputusan yang dilakukan oleh saya. Tetapi itulah yang saya lakukan setahun lalu.
“Saya bukan buat drama dan tidak pula berpaling saat membulatkan hati ketika itu walaupun bekas suami enggan bercerai.
“Keutamaan saya kini adalah anak-anak kerana mereka merupakan amanah dan tanggungjawab yang dikirimkan buat saya,” katanya kepada HibGlam.
Pelakon filem Hijabista Ballet itu juga mengakui ‘keluar’ daripad mahligai perkahwinannya sehelai sepinggang tanpa menuntut wang nafkah mutaah daripada bekas suami..
“Saya cakap dengan dia, buat apa masih lagi bergelar suami dan isteri andai hubungan itu hanya akan memudaratkan psikologi anak-anak.
“Mungkin di mata orang lain, kami dilihat pasangan bahagia, namun hakikatnya hanya kami yang tahu.
“Saya bercerai bukan kerana mahu jadi kaya. Malah, saya tidak menuntut nafkah anak-anak dengan bekas suami.
“Rezeki di tangan Tuhan. Saya tahu bekas suami tak mampu memberi nafkah kepada anak-anak, tetapi saya percaya akan ada rezeki yang diberikan Allah,” tuturnya.
Ibu kepada Julia Claire Dargus, 6, dan Bruce Dean Dargus, 4, itu juga menjadi ‘kaunter’ rujukan buat pengikutnya dalam laman sosial.
“Ya, saya terima banyak mesej peribadi di Instagram dan akaun laman sosial lain. Semuanya meminta nasihat tentang perkahwinan serta perceraian.
“Perkara pertama saya nasihatkan adalah doakan supaya hati lembut demi anak-anak, selain percaya pada qada dan qadar.
“Tuhan pilih kita untuk berada dalam situasi itu. Pastikan kita dikelilingi orang yang positif.
“Saya akui pernah berhabis ribuan ringgit berjumpa dengan pakar kaunseling rumah tangga untuk luahkan segalanya selain mahu mencari ketenangan,” kongsinya.
Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce Dargus pada 2012 dan sah bercerai pada 10 Julai 2019 di Mahkamah Rendah Syariah Johor Bahru.