PETALING JAYA – Selebriti terkenal Neelofa menzahirkan rasa sebak tatkala berpeluang melihat helaian rambut milik Nabi Muhammad SAW yang dipamerkan di Festival Islam dan Halal Antarabangsa di Johor baru-baru ini.
Rasa sebak tersebut terzahir pada riak wajah pemilik nama penuh Noor Neelofa Mohd. Noor itu ketika berada hampir dengan dengan beberapa artifak barangan peribadi milik Rasulullah.
“Ada helaian rambut, cebisan jubah dan capal Nabi.
“Meremang bulu roma dan rasa ibarat begitu hampir dengan Nabi tercinta,” kongsinya dalam InstaStory semalam.
Menerusi video lain, bekas pengacara Nona itu dilihat beberapa kali menitiskan air mata sepanjang melihat barangan pameran tersebut.
“Saat melihat helaian rambut tersebut, Allah SWT beri rasa seolah-olah berada dekat dengan Nabi Muhammad.
“Wahai Allah, bantu kami untuk terus mendapat kemanisan mencintai Rasulullah,” katanya lagi.
Difahamkan, Pertubuhan Kasih Neelofa turut terlibat dalam festival yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor bermula 29 September lalu.
Sejak berniqab sepenuhnya, pelakon drama Suri Hati Mr. Pilot itu aktif melibatkan diri dalam program kerohaniaan dan keagamaan bersama suaminya, Haris Ismail.- KOSMO! ONLINE