TUMPAT – Ibu kepada seorang ejen jualan barangan kosmetik dikenali sebagai Azi, 36, yang diculik selama lebih dua minggu mengakui pernah dua kali berhubung dengan anak perempuannya itu menerusi panggilan video ketika wanita itu berada di Thailand minggu lalu.
Zahasnah Mohd. Zain, 61, berkata, menerusi panggilan video itu, hatinya lega apabila melihat anaknya itu berada dalam keadaan selamat, malah Azi turut memaklumkan akan pulang tidak lama lagi.
“Kami berhubung menerusi panggilan video pada minggu lalu. Jika tidak silap, dia ketika itu sudah berada di Kedutaan Malaysia di Bangkok.
“Azi memaklumkan bahawa berada dalam keadaan selamat. Dia juga berpesan kepada saya dan ayahnya untuk makan dan jangan fikir yang bukan-bukan kerana dia baik-baik sahaja di sana,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya di Kampung Semat Jal di sini kelmarin.
Berita berkaitan: Azi selamat, kini berada di Kuala Lumpur
Berita berkaitan: Azi bebas tanpa wang tebusan
Menurut Zahasnah, dia tidak sempat bercakap lama dengan Azi menerusi panggilan video itu, namun melihat anaknya sudah memakai baju berbeza berbanding hari dia diculik.
Katanya, selepas dua kali berhubung minggu lalu, Azi tidak lagi menghubunginya sehingga berita kepulangannya pada malam Khamis lalu.
“Meskipun sudah berada di Malaysia, saya masih belum dapat berhubung dengan Azi. Saya bersyukur dan amat merinduinya.
“Kami akan menunggu kepulangannya,” kata Zahasnah.
Berita berkaitan: Bapa Azi sudah ada selera makan
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani memberitahu, mangsa diselamatkan dengan hasil bantuan pihak berkuasa Thailand dan kini berjaya dibawa pulang ke Malaysia.
Kosmo! semalam melaporkan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, wanita itu kini berada di satu lokasi di Kuala Lumpur dan dia diselamatkan di Thailand tanpa membabitkan sebarang pembayaran wang tebusan.