BIRMINGHAM – Pengurus Aston Villa, Steven Gerrard mengakui bimbang dengan kemampuan yang dimiliki Leeds United menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Elland Road malam ini.
Meskipun menang 3-0 ke atas Leeds musim lalu, namun ia tidak menjadi tiket buat Villa untuk berasa selesa memandangkan pasukan tuan rumah itu menunjukkan peningkatan ketara di bawah kendalian Jesse Marsch.
Justeru, Gerrard percaya pasukannya akan berdepan kesukaran untuk mendapatkan tiga mata pada perlawanan malam ini berdasarkan rekod cemerlang Leeds apabila beraksi di laman sendiri.
“Leeds sudah menunjukkan banyak peningkatan pada musim ini. Jesse (Marsch) sudah lakukan tugas yang sangat baik apabila berjaya mengekalkan Leeds untuk terus beraksi dalam saingan Liga Perdana.
“Beliau menyusun pasukan dengan sangat baik apabila mendapatkan pemain-pemain berkualiti pada jendela perpindahan musim panas. Mereka juga mengharungi aksi pramusim yang sangat baik,” katanya.
Villa yang tewas empat kali dalam enam perlawanan awal musim ini boleh menarik nafas lega apabila menang ke atas Southampton selain seri dengan Manchester City pada dua aksi terakhir.
“Leeds memiliki ramai pemain berkualiti hasil daripada perpindahan sebelum ini. Mereka kini menampilkan aksi lebih meyakinkan dan kami bukan sahaja akan berdepan pasukan hebat, malah penyokong mereka juga,” ujar Gerrard. – AGENSI