BANGKOK – Sekumpulan penyelidik di Thailand telah membangunkan baka padi kalis banjir bagi mengatasi situasi hujan lebat yang melanda negara itu pada ketika ini, lapor laman Thaiger kelmarin.
Baka padi dinamakan Hom Le Noi itu boleh tumbuh dalam semua jenis iklim, demikian menurut ketua pasukan yang membangunkannya.
Pasukan saintis ini itu adalah daripada Pusat Kebangsaan Kejuruteraan Genetik dan Bioteknologi.
Ketua pasukan, Dr Theerayut Tuchinda berkata, Hom Le Noi juga boleh dicipta untuk menjadi kebal terhadap ancaman semula jadi. Ia termasuk kebal terhadap belalang coklat iaitu spesies serangga invasif yang memakan pokok padi. Ia juga boleh dimodifikasi supaya tahan penyakit hawar bakterian daun.
Theerayut berkata, proses penyelidikan baka padi baharu itu telah lama dimulakan iaitu sejak tahun 2013.
Pasukan itu memilih benih padi terbaik yang dibiakkan di dalam makmal untuk ditanam oleh petani di seluruh Thailand.
Tambah Theerayut, Hom Le Noi mempunyai hasil tuaian yang stabil kira-kira 900 kilogram semusim bagi setiap tahun, bergantung kepada keadaan cuaca.
Pengeksport- pengeksport beras sebelum ini menyatakan bahawa Thailand memerlukan beras baka baharu untuk bersaing dalam pasaran beras global. – Agensi