NEW YORK – Seorang hakim di Amerika Syarikat (AS) kelmarin mengetepikan saman AS$10 bilion (RM46.3 bilion) oleh kerajaan Mexico terhadap pengeluar-pengeluar senjata api AS yang didakwa ‘menyemarakkan’ pengedaran dadah dan keganasan di negara itu.
“Malangnya bagi Mexico, semua tuntutannya, sama ada dihalang oleh undang-undang persekutuan, atau gagal atas sebab lain,” kata Hakim Mahkamah Persekutuan di Boston, Dennis Saylor dalam keputusannya.
“Walaupun mahkamah ini mempunyai simpati yang besar kepada rakyat Mexico, dan tiada sedikitpun simpati terhadap mereka yang menjual senjata api kepada organisasi-organisasi jenayah Mexico, adalah wajib untuk mahkamah mematuhi undang-undang negara ini,” tambahnya dalam keputusan setebal 44 muka surat.
Kerajaan Mexico memfailkan saman pada Ogos 2021 terhadap sembilan pengeluar senjata api AS dan dua pengedar termasuk Smith & Wesson, Beretta, Colt, Glock, Century Arms, Ruger dan Barrett. Saman itu menyasarkan perdagangan ‘cuai dan haram’ yang menggalakkan pemerdagangan dadah dan keganasan di wilayah Mexico.
Kerajaan Mexico menyatakan, antara 70 hingga 90 peratus senjata yang ditemui di lokasi jenayah berasal dari AS.
Litigasi itu menuntut pampasan bagi kerosakan yang disebabkan oleh kecuaian pengeluar-pengeluar senjata api AS dan menuntut pelaksanaan piawaian sewajarnya bagi ‘memantau dan mendisiplinkan’ pengeluar senjata api.
Mexico yang memiliki 126 juta penduduk, dicemari keganasan berdarah yang meluas sejak Disember 2006, apabila presiden ketika itu, Felipe Calderon mengerahkan tentera Mexico melancarkan operasi antidadah.
Sejak itu, menurut angka kerajaan, lebih 300,000 orang terbunuh di Mexico dengan majoriti daripada mereka dibunuh menggunakan senjata api dalam insiden berkaitan pengedaran dadah. – AFP