PETALING JAYA – Tidak sampai setahun bercerai, penyanyi Ashira Aziz mengakui pintu hatinya kembali terbuka untuk mengenal hati budi seorang lelaki bernama Fairul Ezuan.
Meskipun begitu Ashira, 37, memberitahu masih belum bersedia untuk kembali bergelar isteri dalam tempoh terdekat dan memilih untuk berkenalan lebih rapat dahulu dengan Fairul.
“Ya, dia istimewa dan kami sedang berkawan namun masih belum terfikir untuk ke arah lain.
“Biarlah kami berkawan dulu dan tak mahu terlalu terburu-buru merancang fasa lain iaitu perkahwinan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Tambah pemilik nama penuh Sharifah Nur Ashira Syed Abdul Aziz itu, kegagalan rumah tangga terdahulu meninggalkan luka dan trauma yang belum sembuh.
“Kegagalan rumah tangga saya sebelum ini buatkan diri masih trauma. Luka lama pun masih berbekas,” kata bekas peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) itu.?
Beberapa hari lalu, pelantun lagu Di Ombak Resah itu mencuri perhatian apabila berkongsi foto bersama Fairul dalam Instagramnya.
Berkongsi kepada umum, ibu tunggal itu mengakui, Fairul merupakan lelaki yang pernah diminatinya pada usia remaja.
“Saya sudah kenal dia semasa umur 14 tahun dan dia crush (lelaki diminati) pertama dalam hidup.
“Kemudian kami bertemu semula pada Ogos lalu di sebuah premis saya membuat persembahan dan dia juga abang kepada salah seorang anggota band saya,” ujarnya.
Akuinya, perasaan sayang terhadap Fairul masih bersisa dalam diri dan percaya dengan segala perancangan yang diatur Tuhan.
Tambahan pula, anak lelakinya, Megat Sahzril,16, turut merestui hubungan baiknya dengan Fairul.
“Mungkin Tuhan telah aturkan kami untuk bertemu semula.
“Sejujurnya rasa sayang masih ada dan sepanjang tempoh kami kembali berkawan ini, dia buat saya gembira.
“Alhamdulillah anak saya juga tiada masalah dengan perkara ini dan dia gembira melihat saya bahagia,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Ashira berumah tangga mendirikan rumah tangga dengan Bad Indigo pada 11 Mac 2021 selepas kedua-dua mereka mula rapat ketika bergelar peserta GV7.
Jodoh tidak panjang, mereka mengesahkan sudah bercerai pada 23 Jun lalu tanpa berkongsi lanjut punca perpisahan tersebut. Mereka juga tidak dikurniakan cahaya mata.
Dalam perkahwinan pertama, Ashira dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Megat Shazril. – KOSMO! ONLINE