KUALA LUMPUR- Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September lalu disifatkan menjadi antara punca yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di negara ini.
Perkara tersebut diakui oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi sidang akhbar khas yang diadakan menerusi laman Facebook rasminya sebentar tadi.
Katanya, PRN Sabah terpaksa diadakan apabila Yang Di-Pertua Negeri Sabah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 30 Julai yang lalu.
“Ini sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana kita tertakluk kepada peruntukan di dalam Perlembagaan. Pilihan raya mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN dibubarkan. Ia tidak boleh ditangguh.
“Saya sedar Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia telah menetapkan prosedur operasi standard (SOP) tertentu bagi memastikan wabak Covid-19 tidak merebak akibat kempen pilihan raya diadakan tetapi tidak dipatuhi,” katanya.
Tambahnya, aspek penjarakan fizikal dilihat kurang dipatuhi apabila kempen diadakan di negeri tersebut.
“Walaupun hampir keseluruhan memakai pelitup muka, tetapi masih ramai yang duduk dekat-dekat dalam keadaan yang agak sesak,” luahnya. – K! ONLINE