NEW DELHI – Seorang pakar bedah di India membuat penemuan mengejutkan apabila mengeluarkan 63 batang sudu besi daripada perut seorang pesakit, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Pakar bedah tersebut, Dr. Rakesh Khuran melakukan pembedahan yang berlangsung selama dua jam melibatkan seorang pesakit dari daerah Muzaffarnagar, negeri Uttar Pradesh yang dipercayai mula menelan objek berkenaan sejak lebih setahun lalu.
Pesakit itu dirujuk ke hospital kerana mengalami sakit perut dan pada mulanya, doktor menyangka ia mungkin disebabkan oleh ketumbuhan dalam perut.
Bagaimanapun, pemeriksaan X-ray menunjukkan terdapat longgokan bendasing yang akhirnya dikenal pasti sebagai sudu besi.
Pakar bedah tersebut terpaksa mengeluarkan satu demi satu sudu dan dengan sangat berhati-hati agar tidak mencederakan organ dalaman pesakit.
“Selama bergelar doktor bedah selama 35 tahun, ini kali pertama saya berdepan dengan kes seperti ini.
“Apabila saya bertanya kepada pesakit alasan dia menelan sudu tersebut, dia memberitahu ia adalah perbuatan yang terpaksa dilakukan,” jelas Rakesh.
Menurut keterangan keluarga pesakit, perbuatan tersebut mungkin berlaku semasa pesakit menjalani rawatan ketagihan dadah di sebuah klinik tempatan.
Dia menelan sudu-sudu tersebut dengan mudah apabila mematahkan hujung sudu berbentuk bujur dan hanya menyumbat batang sahaja ke dalam mulut.
Pesakit tersebut masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk pemantauan doktor. – Agensi