JAKARTA – Presiden Joko Widodo (Jokowi) memberi bayangan situasi ekonomi sangat dahsyat akan melanda Indonesia tahun depan, lapor laman berita Liputan6 kelmarin.
Kata Jokowi, amaran inflasi global yang semakin kerap dikeluarkan secara tidak langsung mengukuhkan jangkaan bahawa ‘zaman kegelapan’ ekonomi bakal terjadi.
“Sudah banyak amaran krisis ekonomi dunia yang kita dengar di media cetak mahupun media sosial.
“Tahun ini sudah cukup sulit tetapi apa yang bakal datang pada tahun depan akan lebih sukar,” tegas Jokowi.
Tambah beliau, kegawatan yang dinyatakan adalah tidak terhitung atau terjangka kerana situasi ekonomi yang tidak menentu.
Oleh yang demikian, Jokowi meminta agar semua pemerintah daerah untuk bersiap sedia dengan pelan sokongan jangka panjang dan mewujudkan gaya pemikiran ‘sense of crisis’ atau jangkaan kemungkinan krisis yang mungkin berlaku.
“Setiap pemerintah perlu sentiasa bersiap sedia mengenai pelbagai jenis jalan penyelesaian dalam banyak situasi berbeza.
“Situasi dunia kini sangat tidak terjangka dan kita tidak boleh terus berada dalam zon selesa,” ujarnya. – Agensi