PETALING JAYA – Stadium Shah Alam yang dilanda kontroversi sebelum ini bakal berwajah baharu dengan menampilkan konsep ala padang Liga Perdana Inggeris tanpa balapan.
Reka bentuk awal stadium itu yang dimuat naik semalam ternyata membuatkan ramai peminat sukan bola sepak tanah air teruja, namun pada masa sama mengharapkan ia diuruskan dengan baik bagi mengelakkan sejarah lama berulang.
Reka bentuk yang lebih mantap dan futuristik itu bagaimanapun masih dalam konsep awal dan belum ada sebarang pembinaan atau penambahbaikan dilakukan ketika ini.
Melihat di ruangan komen, seorang peminat bola sepak, Mohamad Izwan berharap agar ia dijaga dan diselenggara dengan baik.
“Jangan buat cantik-cantik dan canggih sangat, nanti kos urus tinggi, tak dapat kawal dan jadi balik macam sekarang ini,” luahnya.
Amsyr Aff pula menulis, “fuh mantap, tak sabar nak tengok stadium Selangor dan Perak,” katanya.
Namun, ada juga yang ragu-ragu dengan usaha membaik pulih stadium itu dengan mengatakan:
“Bagi jadi dulu, kalau setakat sembang reka bentuk ni ada satu kelab hujung utara pun dah selalu buat tetapi sampai sekarang tak nampak bayang stadium lagi,” katanya diikuti dengan emoji ketawa.
Semalam Ketua pegawai eksekutif Menteri Besar Selangor Incorporated, Norita Mohd. Sidek mengesahkan Stadium Shah Alam yang menjadi lambang kemegahan pasukan bola sepak Selangor, sah akan dirobohkan dan bakal digantikan dengan stadium baharu yang dijangka siap menjelang 2026.
Katanya, bukan sahaja Stadium Shah Alam, malah keseluruhan Kompleks Sukan Shah Alam di tapak seluas lebih 200 ekar itu turut akan dirobohkan dan dibangunkan semula. – KOSMO! ONLINE