fbpx

PM akan mempersembahkan tarikh pembubaran Parlimen kepada Agong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Maslan.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, ia berdasarkan ketetapan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam ini iaitu pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini juga.

“Keputusan mesyuarat ini adalah berasaskan pendirian konsisten UMNO sejak dari awal untuk memulangkan mandat rakyat yang tertangguh akibat pandemik Covid-19 setelah runtuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) kerana persengketaan dalaman politik sesama mereka.

“Sehubungan itu, semua jentera parti di setiap peringkat adalah diarahkan untuk memuktamadkan segala persiapan yang telah dibuat sebelum ini bagi memasuki fasa pembubaran sehinggalah kepada tarikh PRU-15,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MKT UMNO selesai.

Ahmad Maslan berkata, UMNO percaya hanya dengan mengembalikan hak rakyat bagi membolehkan mandat sebenar diperolehi, maka sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk bagi memulihkan negara khususnya dalam aspek ekonomi yang berkait rapat dengan soal kesejahteraan hidup mereka disamping beberapa usaha pembaharuan institusi ke arah mewujudkan tadbir urus yang lebih baik buat negara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, mesyuarat MKT UMNO malam ini menyambut baik keputusan Kabinet mengarahkan siasatan lanjut dan tindakan perundangan segera dilaksanakan oleh agensi-agensi penguat kuasa berkaitan bagi menyiasat salah laku bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Menurut beliau, Mesyuarat MKT UMNO menggesa agar Laporan Pasukan Petugas Khas Siasatan Ke Atas Buku Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness” didedahkan kepada umum.

Tambahnya, Mesyuarat MKT UMNO juga menjunjung titah Sultan Johor pada 15 Mei 2022 yang mahukan laporan siasatan pasukan petugas khas dalam isu kedaulatan Batu Putih segera dibentangkan dan didedahkan kepada umum.

Selain itu, katanya, Mesyuarat MKT UMNO menerima perletakan jawatan Tan Sri Zulhasnan Rafique sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO dan bersetuju melantik Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO yang baru.

“Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat MKT memecat Datuk Zaharin Mohd. Yasin daripada menjadi ahli UMNO berkuat kuasa serta merta mengikut Fasal 10.6 dibaca bersama Fasal 5.9 kerana melanggar Etika Ahli UMNO di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan UMNO.

“Mesyuarat MKT UMNO juga mengambil maklum berkenaan kunjungan Tan Sri Abdul Hadi bin Awang, Presiden PAS bertemu dengan Presiden UMNO baru-baru ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI