STOCKHOLM – Seorang jurugambar dari Sweden, Alex Dawson berjaya mengungguli tempat pertama Kategori Sudut Lebar Pertandingan Fotografi Dalam Air 2022 Selam Skuba menerusi foto tapak perkuburan paus di dasar laut, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Dawson menggunakan laman Twitter untuk menyiarkan gambar yang dirakam bagi berkongsi kegembiraannya memenangi hadiah pertama.
“Saya amat berbesar hati kerana majalah Scuba Diving Magazine memilih gambar saya sebagai pemenang 2022 dalam kategori pandangan lebar,” tulisnya.
Dia turut mendedahkan kesukaran yang dihadapi semasa proses rakaman gambar tersebut dalam keadaan suhu sejuk beku -2 darjah Celsius.
Di bawah lapisan ais setebal 91 sentimeter (sm) yang terbentuk di Teluk Tasiilaq, Greenland, Dawson dan temannya, Anna Von Boetticher berenang di kawasan menempatkan sejumlah 20 bangkai paus untuk merakam gambar itu. – Agensi