BAITULMUQADDIS – Tentera Israel meluluskan penggunaan dron bertujuan untuk membunuh pejuang dan rakyat Palestin di Tebing Barat, lapor laman berita RT kelmarin.
Menurut akhbar Jerusalem Post, arahan itu dibuat selepas serbuan ganas Israel pada Rabu lepas apabila tentera Rejim Zionis semakin agresif menggunakan teknologi canggih untuk mengawasi wilayah Palestin.
Menurut akhbar itu, komander tentera Israel akan dibenar menggunakan dron untuk melakukan serangan sekiranya melihat ‘lelaki-lelaki bersenjata yang dikenal pasti sebagai mengancam tentera Rejim Zionis’.
Barisan pegawai kanan membincangkan perubahan doktrin itu Rabu lalu, manakala Ketua Staf Tentera, Jeneral Aviv Kohavi menandatangani arahan itu.
Israel menggunakan dron Hermes 450 buatan syarikat pertahanan Elbit untuk melakukan pembunuhan di Gaza sejak 2008.
Dron itu dikeluarkan sejak akhir tahun 1990-an tetapi laporan penuh tentang penggunaannya sukar kerana tentera Israel melarang sebarang berita tentangnya hingga awal tahun ini.
Menurut tentera Israel, dron itu tidak pernah digunakan semasa serangan di Tebing Barat.
Rejim Zionis dikatakan mempertimbangkan kelulusan untuk melakukan pembunuhan menggunakan dron seawal Mei lalu selepas komandonya terbunuh semasa operasi serupa di Jenin, lapor Jerusalem Post. – Agensi