WASHINGTON – Taufan Ian mencetuskan kemusnahan ‘bersejarah’ di Florida dengan menenggelamkan kediaman, memusnahkan jalan raya dan jambatan serta menyebabkan berjuta-juta orang terputus bekalan elektrik, kata beberapa pegawai kelmarin, manakala Presiden Joe Biden memberi amaran, angka kematian mungkin ‘besar’.
Ribut itu adalah antara yang paling kuat pernah melanda Amerika Syarikat (AS). Taufan Ian bergerak ke negeri Carolina Selatan sebagai taufan Kategori 1 selepas membadai Florida di mana sekurang-kurangnya lapan orang terkorban. Ramai mangsa yang terperangkap di kediaman masing-masing masih menunggu untuk diselamatkan
“Ini mungkin taufan yang mendatangkan kemusnahan paling besar dalam sejarah Florida,” kata Biden selepas mendengar taklimat di ibu pejabat agensi pengurusan kecemasan, FEMA di Washington.
Beliau berkata, angka korban masih belum jelas tetapi ‘kami mendengar laporan bahawa kehilangan nyawa adalah besar.’
Gabenor Florida, Ron DeSantis menyifatkan kemusnahan di bahagian barat daya pesisir selatan Florida sebagai ‘peristiwa banjir besar sekali dalam 500 tahun.’
“Kerosakan yang berlaku adalah bersejarah dan jauh lebih buruk berbanding penilaian awal. Kami tidak pernah melihat gelombang ribut dalam magnitud seperti ini,” kata DeSantis.
Fort Myers iaitu lokasi ketibaan Ian sebagai taufan Kategori 4 Rabu lalu, merupakan kawasan paling teruk terjejas dengan air sungai dan laut mencurah masuk ke dalam rumah-rumah penduduk.
Berpuluh-puluh bot yang berlabuh di marina karam, manakala yang lain dihanyutkan dan tersadai di jalan-jalan di pusat bandar.
Banyak pokok tercabut ditiup angin kencang pada kelajuan mencecah 240 kilometer sejam.
Penduduk Fort Myers, Tom Johnson, 54, berkata, dia melihat kemusnahan yang berlaku dari apartmennya di tingkat dua sebuah bangunan setinggi dua tingkat di tepi pelabuhan.
“Saya takut kerana saya tidak pernah melalui situasi seperti ini. Bunyi angin sangat menyeramkan dengan serpihan berterbangan ke mana-mana sahaja. Pintu-pintu tercabut dan berterbangan,” kata Johnson kepada agensi berita AFP.
Rumah Johnson tidak rosak tetapi seorang jirannya, Janelle Thil, 42, tidak bernasib baik dan terpaksa meminta bantuan jiran selepas pangsapuri tingkat bawahnya mula dinaiki air.
“Mereka mendapatkan anjing saya dan kemudian saya melompat keluar dari tingkap dan berenang,” kata Thil.
Pengawal Pantai AS berkata, sembilan pendatang asing diselamatkan dari sebuah bot yang karam di laut semasa Taufan Ian membadai Rabu lalu. Seramai 18 orang hilang dalam kemalangan itu, antara mereka ialah empat warga Cuba yang berenang ke pantai di Florida Keys.
DeSantis berkata, usaha untuk menyelamatkan mangsa terperangkap di dalam rumah yang dinaiki air akan menjadi ‘operasi 24 jam/tujuh hari seminggu’.
Seorang pegawai Pengawal Pantai AS berkata, kru helikopter masih memindahkan penduduk yang berlindung di atas bumbung rumah selepas kediaman mereka ditenggelami banjir.
Sementara itu, sebahagian besar pantai barat daya Florida tenggelam dan berada dalam kegelapan selepas ribut menyebabkan kuasa elektrik terputus.
Laman web pemantauan kuasa, poweroutage.us berkata, sebanyak 2.6 juta rumah dan premis perniagaan kekal tanpa bekalan elektrik di Florida setakat kelmarin.
Arahan pemindahan mandatori telah dikeluarkan di banyak kawasan di Florida menjelang ketibaan Ian, dengan berpuluh-puluh tempat perlindungan disediakan.
Lapangan-lapangan terbang menghentikan semua penerbangan komersial, dan syarikat kapal persiaran turut menangguhkan atau membatalkan pelayaran. – AFP