fbpx

Bajet 2023: Peniaga kecil harap bantuan khas kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nurul Hazwani memohon kerajaan menyalurkan bantuan kewangan berkala bagi membantu golongan peniaga kecil meneruskan kelangsungan perniagaan.

GEORGE TOWN – Peniaga kecil dan penjaja di negara ini mengharapkan bantuan khas kewa­ngan setiap dua kali setahun bagi menampung modal pusingan sekali gus membantu memperluaskan bidang perniagaan mereka.

Hasil tinjauan Kosmo! mendapati, majoriti peniaga terbabit merayu agar kerajaan membantu meningkatkan jumlah bantuan kewangan ketika negara berada di fasa peralihan endemik selain memberi kelonggaran prosedur permohonan lesen dan tapak perniagaan.

Rata-rata mereka turut memberi keyakinan tinggi terhadap pengumuman Bajet 2023 yang akan dibentangkan di Parlimen pada Jumaat depan.

Seorang peniaga barangan antik di Lorong Kulit, Jalan Perak, di sini, Mohamad Anwar Abdul Razak, 44, berkata, dia berharap kerajaan dapat menyalurkan modal khas kepada peniaga kecil bagi tujuan membantu menstabilkan perniagaan yang diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu.

“Selain itu, saya juga berharap agar kerajaan atau agensi terlibat memudahkan urusan pinjaman kewangan tanpa prosedur ketat untuk peniaga kecil se­perti kami.

“Ini supaya peniaga-peniaga kecil tidak terikat dengan hutang daripada sumber lain sehingga menjejaskan mata pencarian.

“Selain itu, saya juga mencadangkan agar pihak kerajaan mengadakan kempen membeli terus barangan dengan pihak peniaga kecil di kedai termasuk mengawal harga semua barangan kelengkapan harian,” katanya.

Seorang lagi peniaga gerai nangka madu, Nurul Hazwani Abdul Rashid, 26, berkata, dia me­rayu agar kerajaan menyalurkan bantuan kewangan secara berkala atau setiap dua kali setahun kepada peniaga-peniaga kecil.

“Ini bukan sahaja dapat me­ri­ngkan beban kewangan yang ditanggung malah membantu kami pusing semula modal yang telah dikeluarkan.

“Mungkin dengan bantuan berkala itu, saya dapat melebarkan sayap perniagaan nangka madu ini dengan jualan pelbagai variasi buah-buahan tempatan lain yang jarang ditemui,” ujarnya.

Di Ipoh, peniaga mi goreng, Mohd. Ali Hussein Mahmud, 54, berkata, golongan peniaga dan penjaja di Perak berharap Bajet 2023 yang akan dibentangkan mengandungi bantuan kewangan sewajarnya untuk mereka.

Ujarnya, dia yang berniaga secara kecil-kecilan di Tanjung Rambutan masih bergelut untuk berniaga gara-gara kenaikan kos sara hidup.

“Walaupun saya berniaga ­kecil-kecilan, ia tidak bermakna kos perniagaan ini rendah. Saya juga terkesan dengan kos bara­ngan yang meningkat,” katanya.

Pada masa sama, Siti Zuraini Mohd. Nuh, 43, berkata, dia berharap agar kerajaan mewujudkan satu skim pinjaman kewa­ngan dengan faedah rendah bagi golongan peniaga sepertinya.

“Saya terpaksa keluar wang simpanan bagi membuka gerai. Bukan mudah tetapi perlu dilakukan untuk teruskan hidup,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI