WASHINGTON – Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s akan melancarkan edisi terhad ‘Happy Meal’ bagi orang dewasa yang akan disertakan dengan koleksi mainan percuma popular klasik sekitar tahun 80-an dan 90-an, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Inisiatif istimewa itu adalah kepada pelanggan setia McDonald’s untuk masa terhad sahaja. Happy Meal versi dewasa boleh didapati di cawangan-cawangan restoran McDonald’s di Amerika Syarikat (AS) bermula 3 Oktober ini.
Pelanggan boleh mendapatkan Happy Meal versi dewasa sama ada melalui set hidangan Big Mac atau 10 Chicken McNuggets bersama kentang goreng, minuman dan mainan kecil.
Mainan itu adalah versi reka bentuk semula beberapa maskot McDonald’s yang paling popular termasuk Grimace, Hamburglar dan Birdie.
Setakat ini, francais itu belum mendedahkan harga bagi setiap set Happy Meal dewasa berkenaan.
Tawaran itu akan memberi peluang kepada peminat makanan segera untuk ‘menghidupkan’ semula kenangan zaman kanak-kanak mereka selama sebulan sehingga 30 Oktober ini.
Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan AS McDonald’s, Tariq Hassan berkata,
pelancaran Happy Meal istimewa itu adalah bagi mengimbau memori indah zaman kanak-kanak pelanggan setianya.
“Ini adalah langkah paling relevan untuk mengembalikan semula ingatan atau pengalaman pelanggan kami yang sudah menikmati McDonald’s dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa,” ujarnya. – Agensi