TALLAHASSEE, FLORIDA – Orang ramai terpedaya dengan hantaran seorang lelaki di media sosial yang memuat naik imej memaparkan kewujudan jerung di beberapa kemudahan awam di negeri Florida, Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar Daily Star semalam.
Imej yang disunting itu tular secara online kerana memaparkan beberapa ekor ikan jerung berenang di jalan-jalan yang dinaiki air akibat banjir. Pemangsa laut itu turut dilihat berada di pusat beli-belah yang ditenggelami air.
“Terdapat jerung di lebuh raya di Florida.
“Ia semakin teruk. Sekarang jerung menyerang kemudahan awam pula seperti pusat beli-belah. Ini adalah serangan yang diselaraskan,” demikian menurut kenyataan akaun Twitter bernama @barryonhere.
Gambar dan kenyataan itu dimuat naik selepas negeri Florida dilanda Taufan Ian dengan Presiden Joe Biden berkata, bencana itu mungkin mengakibatkan kehilangan nyawa yang besar.
Menurut Biden, ribut itu bergerak merentasi Florida dan mungkin bencana paling dahsyat pernah melanda negeri itu.
Dalam pada itu, petugas penyelamat dan penduduk Pantai Teluk Florida dikerah untuk mencari orang yang hilang dan mengalihkan serpihan rumah yang musnah.
Angin kuat, hujan lebat dan ombak tinggi telah menyebabkan kemusnahan teruk termasuk gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran. – Agensi