PENDERAAN dalam kalangan kanak-kanak bukanlah satu isu baharu yang berlaku di negara ini.
Penderaan juga tidak dengan memukul atau menggunakan kekerasan ke atas tubuh badan mangsa, tetapi turut melibatkan penderaan seksual, mental dan sebagainya.
Lebih mengejutkan, penderaan tersebut acap kali dilakukan keluarga terdekat mahupun orang yang paling dipercayai.
Percayalah, penderaan tersebut pasti membawa impak mendalam kepada mangsa jika tidak mendapat sokongan moral mahupun bantuan dari aspek penjagaan mental.
Golongan selebriti terkenal tanah air dan luar negara turut tidak terlepas daripada kes malang tersebut, terutama ketika melewati zaman kanak-kanak yang sepatutnya menjadi fasa bahagia setiap insan.
Zulin Aziz
Selebriti popular yang juga pelakon dan pengacara Zulin Aziz pernah mendedahkan peristiwa didera oleh pembantu rumah atau amah sewaktu kecil.
Seakan-akan terbalik, kerana kebiasaannya kerap kali kita mendengar amah didera majikan, namun berbeza dengan apa yang dilalui Zulin.
“Bayangkan kepala aku dihantuk ke dinding, kena pukul pakai penyapu, tidur dalam bilik air, aku masih ingat lagi. Tapi arwah abah cuma halau dia keluar dari rumah,” dedahnya dalam Twitter beberapa tahun lalu.
Tambah Zulin, dia pernah mengadu perbuatan amah tersebut, namun tiada siapa yang percaya kerana wanita itu pandai berlakon di depan orang lain dan keluarganya.
Bagaimanapun, nasibnya baik apabila ada jiran yang menjadi saksi melihat Zulin didera amah bertopengkan syaitan itu.
Oprah Winfrey
DI SEBALIK keunggulan karier, pengacara terkenal, Oprah Winfrey mendedahkan sejak kecil dia menjadi mangsa penderaan seksual dan berulang kali dicabul sepupu, bapa saudara serta kenalan keluarganya sehingga pernah hamil pada usia 14 tahun.
Namun, bayi tidak berdosa itu meninggal dunia dua minggu selepas dilahirkan. Penderitaan tersebut menjadikan Oprah kuat sehingga berjaya menamatkan pengajiannya di universiti sebelum diterima bekerja sebagai pembaca berita di Nashville.
Oprah turut mempunyai programnya sendiri, Oprah Winfrey Show yang begitu popular di seluruh dunia.
Tyler Perry
Kehidupan kanak-kanak pelakon kelahiran Amerika Syarikat iaitu Tyler Perry penuh dengan kegelapan akibat didera secara seksual oleh bapa sendiri.
Trauma dengan kehidupan, Perry mengakui pernah membuat cubaan bunuh diri sewaktu berusia belasan tahun sebanyak dua kali.
Pada usia 23 tahun, dia berpindah ke Atlanta bagi mengejar cita-citanya sebagai pelakon sebelum berjaya mementaskan teater pertamanya berjudul I Know I’ve Been Changed yang berkisar kisah lampaunya.
Perry mengeluarkan semua wang simpanannya untuk teater tersebut namun hanya 30 orang memenuhi panggung sepanjang seminggu pementasan. Dia tidak putus asa dan mencuba mementaskan semula teater tersebut hingga mendapat sambutan luar biasa penonton enam tahun kemudian.
Perry mula menjadi buruan sebagai pelakon, penulis sehingga majalah Forbes menyenaraikannya sebagai pemain industri paling tinggi bayarannya pada 2011.
Mariah Carey
Lain pula ceritanya dengan penyanyi terkenal Hollywood, Mariah Carey apabila pernah berkongsi kisah tragis ketika masih kecil.
Penghibur yang juga penghidap penyakit bipolar itu mengakui pernah didera bapa sendiri yang memang bersifat panas baran dan mudah naik marah tidak tentu pasal.
Penderaan tersebut dilalui bersama ibu dan adik-beradiknya yang lain.
“Saya masih ingat, ketika berusia enam tahun, saya pernah mendapatkan bantuan daripada jiran terdekat untuk menelefon polis kerana ibu teruk dipukul bapa.
“Saya turut pernah hampir dijual kepada ‘bapa ayam’ untuk dijadikan pelacur ketika berumur 12 tahun,” katanya.
Segala sisi gelap zaman kanak-kanak sebelum berjaya dan dikenali seluruh dunia dicatatkan dalam sebuah buku berjudul The Meaning of Mariah Carey yang dilancarkan pada September 2020.
Isma Yusoof
PELAKON juga pengarah tanah air, Isma Yusoof yang popular menerusi drama Sutun mengakui pernah didera oleh abangnya sendiri hanya disebabkan perkara kecil dan tidak masuk akal.
“Ketika kecil dahulu, saya selalu kena dera dengan abang sendiri, kadang-kadang disebabkan benda kecil sahaja.
“Salah buat perisa mi segera kena belasah, kucing dia mati dia marah dan amuk kepada saya.
“Saya bencikan abang saya sebab dia ganas dan sering membuatkan saya teringat semula perkara keji yang pernah dilakukan. Sampai sekarang saya masih trauma dengan dia,” katanya menerusi Instagram.
Tidak setakat itu, Isma turut mendedahkan dirinya menghidap masalah bipolar berpunca daripada pengalaman pahit yang dilaluinya ketika kanak-kanak.